• Sukan SEA 2017 Buktikan Kehebatan Dato Seri Najib

    Published: Wednesday, 30 August 2017
    A- A+
    Foto : MalaysiaKini


    18 Julai 2012, dalam satu mesyuarat The SEA Games Federation (SGF) di Myanmar, Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah Sukan Sea pada tahun 2017. Brunei sepatutnya menganjurkan Sukan Sea pada 2017 tetapi Dato Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia bersetuju agar Malaysia menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah.

    Satu jawatankuasa dibentuk dan perancangan yang teliti dibuat sejak 2012 lagi untuk menjadi tuan rumah terbaik untuk Sukan Sea 2017. Bukan sekadar menjadi tuan rumah, Malaysia juga membuat persediaan atlet atlet yang terbaik untuk menjadi juara Sukan Sea di tanahair sendiri.

    Hari ini merupakan hari terakhir Sukan Sea di Malaysia. Sehingga jam 11.00 pagi tadi, Malaysia sudah mendapat 142 pingat emas. Lebih 31 daripada sasaran awal iaitu 111 pingat emas. Semalam merupakan hari “hujan emas’ bagi Malaysia bila sejumlah 29 pingat emas berjaya ditambah atlet atlet negara.

    Akhirnya pasukan negara berjaya menyahut cabaran Dato Seri Najib untuk menjadi juara di bumi sendiri. "Ingatlah anda akan bersaing di bumi sendiri, jadi mari berhempas pulas, lakukan yang terbaik bersama-sama rakyat Malaysia yang pasti akan memberi sokongan dengan penuh semangat, diiringi doa dan restu semua, tidak kira keturunan, bangsa, agama dan budaya.

    "Mereka ingin melihat kejayaan setiap atlet, kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah terbaik dan lebih daripada itu muncul sebagai juara temasya ini," kata Dato Seri Najib ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10  Ogos 2017. 

    Selepas 12 hari cerita Sukan Sea menjadi topik utama di Malaysia, akhirnya Sukan SEA ke-29 akan melabuhkan tirainya pada malam ini, 30 Ogos 2017. Temasya yang bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan juga Hari Malaysia ini ternyata memahat seribu satu kenangan manis buat seluruh rakyat Malaysia. 

    Sekalung syabas dan tahniah diucapkan kepada Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (MASOC) yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri, sebagai penasihatnya. 

    Sejak kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah sukan ini iaitu pada 1965, inilah rekod terbaik pernah Malaysia catatkan sebagai pengelola sukan paling termahsyur di rantau ini. Ini kali kedua Malaysia menjadi juara Sukan Sea selepas menjadi juara kali pertama pada 2001. 

    Bagaimanapun, bagi tahun ini (2017), kontinjen Malaysia bukan sahaja mencatatkan kegemilangan dalam penganjuran, malah turut meletakkan rekod baru sebagai pungutan pingat emas paling banyak Malaysia dalam sukan SEA iaitu 142 pingat emas.

    Sebagai nakhoda kepada Kuala Lumpur 2017 ini, Dato Seri Najib sentiasa mengikuti perkembangan Sukan Sea KL2017. Sentiasa hadir memberikan sokongan dan kata kata semangat kepada semua atlet Malaysia yang bertanding.

    Ketika Malaysia sudah mengutip 61 pingat emas. Dato Seri Najib sudah merasai aura juara Malaysia. "Kita ambil maklum bahawa suasana mood negara sehari dua ini nampak ke arah lebih positif dengan terlaksananya Sukan SEA Ke-29... kita lihat sokongan rakyat memuncak di setiap venue pertandingan dan ahli sukan juga berhempas pulas capai kejayaan demi negara. Mudah-mudahan, kalau trend ini berlanjutan, Malaysia ada peluang baik untuk menjadi juara Sukan SEA," kata Dato Seri Najib

    Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.6 billion untuk menaik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi Bandar Sukan Bukit Jalil bagi menghadapi Sukan Sea 2017. Velodrom Tertutup di Nilai, tempat dimana emas ke 111 Malaysia dituai telah dibina dengan kos RM80 juta. Semua ini dibuat dan direalisasikan ketika ada pihak yang menuduh Malaysia hendak bankrup dan muflis.

    Namun Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri terus mara ke hadapan dan tidak menghiraukan apa yang ditohmah oleh pembangkang. Beliau terus merealisasikan hasrat Malaysia untuk menjadi tuan rumah terbaik Sukan Sea dan juara Sukan Sea pada 2017.

    Pada temasya Sukan Sea di Singapura pada tahun 2015, Malaysia sekadar mendapat 62 emas dan berada di tempat keempat. Ketika temasya 2013 di Myanmar, Malaysia mendapat 43 pingat emas dan berada di tempat kelima. Pada temasya 2011 di Jakarta, Malaysia mendapat 58 pingat emas dan berada di tempat keempat. Kali ini, sudah 142 pingat emas pada temasya 2017 di Kuala Lumpur.

    Sukan Sea bukan sekadar menjadikan Malaysia sebagai juara sukan di rantau Asia Tenggara ini. Malah penganjuran Sukan Sea ini yang turut menyumbang kepada KDNK negara sehingga 5.8%. Kadar ini adalah antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Bermakna, Dato Seri Najib bukan sahaja memimpin Malaysia menjadi Juara Sukan Sea malah sebagai jaguh ekonomi di rantau Asia Tenggara ini.

    Semua rakyat perlu bersama sama membantu Dato Seri Najib merealisasikan Malaysia ke arah yang lebih baik selepas acara Sukan Sea ini berakhir. Malaysia sudah berada di landasan yang betul. Kejayaan Sukan Sea dirancang sejak lima tahun yang lepas. Tiada kejayaan yang datang sekelip mata tanpa perancangan yang baik.

    Oleh itu bersama samalah menjadikan negara kita ini lebih baik, maju dan jaguh dalam semua aspek. Usah toleh ke belakang lagi, maju ke hadapan. Bantulah Dato Seri Najib untuk mencipta lebih banyak lagi kejayaan dan pencapaian hebat di masa akan datang. Demi negara dan demi Malaysia. - Beruang Biru

    Subjects:

  • No Comment to " Sukan SEA 2017 Buktikan Kehebatan Dato Seri Najib "