• SPRM Tentukan Tindakan Terhadap Guan Eng 4 September Ini

    Published: Monday, 28 August 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA: Keputusan tindakan undang-undang ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, akan ditentukan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 4 September ini.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata tempoh 48 jam yang diberi pada 25 Ogos lalu meminta Guan Eng memohon maaf kerana menyifatkan penahanan Exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh, sebagai 'penahanan haram' sudah pun tamat tanpa sebarang maklum balas.

    "Pada mesyuarat 4 September nanti, SPRM akan menentukan sama ada Guan Eng bakal berdepan tindakan sivil atau jenayah. Kami memandang serius isu ini kerana Guan Eng melakukan fitnah terhadap institusi kerajaan.

    "SPRM berpandangan, Guan Eng tidak mahu menarik balik dan memohon maaf selepas diberikan masa," katanya pada sidang media pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), di sini hari ini.

    Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Timbalannya, Datuk Henry Sum Agong serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.

    Seramai 500 kakitangan KPDNKK dan agensi di bawahnya melafazkan IBR bersempena dengan Majlis Perhimpunan Bulanan KPDNKK dan Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

    Jumaat lalu, SPRM dalam satu kenyataan menuntut Guan Eng memohon maaf kerana menyifatkan penahanan Boon Poh, berhubung berhubung operasi kilang habuk kayu haram di Sungai Lembu, Pulau Pinang sebagai 'penahanan haram'.

    SPRM menegaskan, permohonan maaf Guan Eng itu perlu dilakukan secara terbuka tanpa syarat dalam tempoh 48 jam daripada kenyataan itu dikeluarkan atau tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.

    Dzulkifli berkata, tindakan yang diambil SPRM adalah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan beliau sudah pun menerima serta membaca nota daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berhubung isu itu kelmarin, yang juga akan diteliti dalam mesyuarat SPRM pada 4 September ini. - BHonline

    Subjects:

  • No Comment to " SPRM Tentukan Tindakan Terhadap Guan Eng 4 September Ini "