• Soalan 1MDB ditolak: PAS cabar parti lain jumpa Arul

    Published: Wednesday, 9 August 2017
    A- A+
    Parti pembangkang lain yang tidak puas hati tindakan PAS mendapatkan penjelasan isu berkaitan 1MDB dicabar berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif Arul Kanda bagi tujuan sama.

    Ahli Parlimen PAS Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan pemimpin parti itu berjumpa Arul kerana mahu penjelasan berhubung isu 1MDB.

    “Enam soalan berkaitan 1MDB oleh ahli parlimen PAS ditolak (Speaker). Atas dasar itu (subjudis) kita minta di luar Dewan dan dia (Arul) setuju,” katanya di Dewan Rakyat, Rabu.

    Beliau mencelah pertikaian antara Ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng dengan Timbalan Speaker Datuk Seri Ronald Kiandee berhubung isu-isu 1MDB yang diputuskan subjudis oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

    Wakil rakyat DAP itu bangun bertanya kenapa Arul memberi penjelasan kepada PAS sedangkan Speaker memutuskan isu itu adalah subjudis.

    Ronald menjelaskan bahawa apa yang dipetuakan Speaker sebagai subjudis hanya terpakai di Dewan Rakyat.

    Katanya lagi, keputusan Speaker berhubung perkara itu adalah muktamad dan hanya boleh dikaji dengan usul berdasarkan peraturan mesyuarat yang ada.

    Bagaimanapun Lip Eng masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Ronald sehingga beberapa kali timbalan speaker itu menegurnya.

    Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS yang mecelah kemudian mencabar DAP atau parti pembangkang lain berjumpa pihak 1MDB jika tidak puas hati soalan mereka ditolak Speaker.

    Dewan kemudian kecoh apabila Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching Chong Chieng Jen bangun dan menuduh PAS sudah menjadi cawangan UMNO kerana menyokong 1MDB.

    Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing turut bangun menyelar ahli-ahli parlimen pembangkang yang sebahagiannya adalah peguam tetapi tidak faham peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

    “Ada ahli parlimen ini bukan Kong Kali Kong tetapi Kong Kong, peraturan mesyuarat sudah tentu pakai di dalam Dewan. Ini tak tahu undang-undang, mahu publisiti sahaja, elok baca balik peraturan mesyuarat,” tegasnya. - BNBBC News

    Subjects:

  • No Comment to " Soalan 1MDB ditolak: PAS cabar parti lain jumpa Arul "