• Skim Jaminan Baharu SJPP Ditawarkan Untuk Projek Lebuhraya Pan Borneo

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) menawarkan skim jaminan kerajaan, iaitu Skim Jaminan Modal Kerja (WCGS) serta Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan (SSGS) kepada kontraktor Bumiputera yang layak di Sarawak yang menjalankan projek Lebuhraya Pan Borneo.

    Kontraktor Bumiputera yang layak boleh memohon jaminan sehingga RM5 juta tiap satu daripada WCGS dan SSGS dengan yuran jaminan yang menarik, iaitu maisng-masing satu peratus setahun.

    Pegawai Utama dan Pengarah SJPP, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, skim terbabit adalah sebahagian inisiatif kerajaan untuk memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai akses kepada kredit untuk pertumbuhan perniagaan mereka dengan penekanan khusus ke atas PKS berorientasikan eksport dan mereka yang di dalam sektor perkhidmatan.

    “Selain membantu kontraktor Bumiputera dalam projek Lebuhraya Pan Borneo, kedua-dua skim juga ditawarkan kepada semua PKS di Malaysia melalui institusi kewangan yang mengambil bahagian dengan terma yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Nungsari berkata, SJPP mempunyai peruntukan yang cukup untuk kedua-dua skim dan mengalu-alukan mereka yang layak untuk mengemukakan permohonan kepada 32 institusi kewangan yang terlibat.

    WCGS dan SSGS ditawarkan di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai baru-baru ini dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), RHB Islamic Bank Bhd, SME Bank dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd.

    Di bawah MoU itu, kontraktor Bumiputera di Sarawak yang melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo akan diberi insentif tambahan melalui Teraju sebagai sebahagian daripada inisiatif di bawah pelan pelaksanaan ‘’Carve Out and Compete’’ seiring dengan aspirasi kerajaan bagi menggalak penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.

    Walaupun hasrat MoU itu untuk memenuhi keperluan kontraktor Bumiputera untuk pembiayaan sehingga RM500 juta dengan RHB Islamic Bank dan SME Bank, tetapi kontraktor bukan Bumiputera juga digalak memohon untuk WCGS dan SSGS melalui institusi kewangan lain yang terlibat. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Skim Jaminan Baharu SJPP Ditawarkan Untuk Projek Lebuhraya Pan Borneo "