• Setiausaha Negara AS Bertemu PM

    Published: Wednesday, 9 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Hubungan dua hala, isu berkaitan perdagangan, keganasan dan antarabangsa menjadi tumpuan utama perbincangan dalam pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Rex Tillerson, yang sedang melakukan lawatan kerja dua hari ke Malaysia, semalam.

    Tillerson memulakan lawatan kerja beliau ke Malaysia hari ini, dengan mengadakan pertemuan bersama Najib di pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen, sejurus selepas mendarat di Pangkalan Tentera Udara Subang, dekat sini.

    Pertemuan 50 minit itu, yang mengisyaratkan pengesahan komitmen Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump untuk memperkukuhkan hubungan dua hala, turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Amerika di Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir.

    Tillerson adalah pegawai kanan pertama dalam pentadbiran Trump yang melawat Malaysia.

    Ini adalah lawatan sulung Tillerson ke Malaysia sejak pelantikannya sebagai Setiausaha Negara pada 1 Februari lalu.

    "Lawatan ini akan memberi peluang kepada Malaysia dan Amerika Syarikat untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan berhubung pelbagai perkara meliputi hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa membabitkan kepentingan bersama," menurut kenyataan Wisma Putra, semalam.

    Malaysia dan Amerika Syarikat menjalin hubungan yang sangat baik dengan mengadakan begitu banyak kerjasama serta permuafakatan dalam pelbagai bidang.

    Bagi tempoh Januari hingga Mei 2017, jumlah dagangan dua hala berkembang 23.3 peratus kepada RM68.2 bilion (AS$15.4 bilion) berbanding RM55.3 bilion (AS$13.5 bilion) bagi tempoh sama pada 2016.

    Tillerson juga akan mengunjungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi esok.

    Tillerson berada di rantau ini sejak 5 Ogos lalu. Beliau sebelum ini ke Manila untuk menghadiri beberapa mesyuarat serantau, termasuk Forum Serantau ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Amerika-ASEAN.

    Beliau berada di Thailand sebelum berkunjung ke Malaysia. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Setiausaha Negara AS Bertemu PM "