• Seorang pemimpin BERSATU dakwa kekecohan didalangi ahli parti itu sendiri

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    Pengarah Keselamatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Parlimen Shah Alam Wan Mohammad Ashraf Nasjaruddin mendakwa kekecohan forum ‘Nothing to Hide 2.0’ Ahad lalu didalangi oleh anggota parti itu sendiri.

    Sehubungan itu,beliau meminta polis menyiasat insiden kekecohan tersebut dan ugutan bunuh terhadapnya.

    “Laporan (polis) pertama yang saya buat, sebab saya mahu polis siasat insiden kekecohan itu kerana apabila kita teliti video yang dirakam dalam forum tersebut kejadian balingan kerusi itu sebenarnya ditujukan ke arah saya dan bukan kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    “…dan saya syak mereka yang terlibat itu terdiri daripada pihak penganjur, urusetia serta beberapa anggota PPBM sendiri. Insiden (kekecohan) itu sengaja diwujudkan supaya dapat menghalang saya daripada bertanyakan beberapa soalan kepada Dr Mahathir selepas isu Memali disoal (individu lain),” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam semalam

    Mengulas lanjut, beliau berkata susulan insiden itu, beliau turut menerima ugutan bunuh daripada individu yang tidak dikenali menerusi laman sosial Facebook PPBM.

    Jelas Wan Mohammad Ashraf, ugutan bunuh tersebut turut mengaitkan keluarganya dan atas sebab keselamatan beliau terpaksa membuat laporan polis supaya tindakan susulan diambil.

    “Saya dapat ugutan bunuh itu pada malam kejadian kekecohan itu berlaku, disebabkan ia berlarutan sehingga ke hari ini jadi saya terpaksa membuat laporan polis untuk tujuan keselamatan dan ugutan bunuh itu juga dilihat mencabar kewibawaan saya kerana melibatkan keluarga,” katanya.

    Wan Mohammad Ashraf dalam pada itu turut mendesak Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meletak jawatan berikutan beliau (Syed Saddiq) antaranya didakwa gagal memastikan keselamatan tetamu di forum tersebut.

    “Saya sendiri sanggup duduk dalam parti dan menentang dia sehingga dia meletakkan jawatan,” tambahnya.

    Kekecohan yang tercetus kira-kira 5.10 petang, Ahad lepas itu bermula selepas peserta forum tidak berpuas hati dengan jawapan Dr Mahathir berhubung peristiwa Memali, dan secara tiba-tiba ada individu membaling kasut, diikuti kerusi dan botol air sebelum menyalakan suar. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Seorang pemimpin BERSATU dakwa kekecohan didalangi ahli parti itu sendiri "