• Selepas Shaheizy Sam, LHDN Buru Lagi Artis

    Published: Wednesday, 16 August 2017
    A- A+

    Nampaknya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) makin proaktif mengambil langkah untuk dedahn lebih ramai pihak yang tidak menjelaskan cukai mereka, termasuklah golongan selebriti.

    Beberapa personaliti terkenal tempatan bakal diisytiharkan muflis ekoran gagal menjelaskan hutang cukai, kata Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrun Maslim, pada Rabu.

    Beliau berkata bahawa ada juga artis terbabit akan dikenakan tindakan jika mereka tetap tidak berusaha untuk menjelaskan tunggakan terbabit.

    Baru-baru ini, LHDN bertindak mengiklankan notis muflis di sebuah akhbar dan nama pelakon popular, Shaheizy Sam, antara yang disenaraikan.

    “Saya tidak mahu kata ramai artis, tetapi dalam rekod kami, memang ada selebriti yang akan dikenakan tindakan serupa seperti Sam selepas ini.

    “Hanya tunggu masa saja. Jika mereka tidak mengambil usaha untuk menjelaskan tunggakan, mereka boleh dibawa ke mahkamah dan seterusnya diambil tindakan muflis.

    “Ia adalah prosedur biasa dalam pungutan cukai,” katanya kepada BH Online. Masrun juga berkata, artis yang masih tidak tahu mengenai cukai pendapatan perlu dibayar, boleh melayari laman sesawang agensi terbabit.

    “Segala maklumat mengenai tanggungjawab percukaian boleh dicari di laman sesawang LHDN. Terpulang kepada selebriti itu untuk mengambil tahu mengenai cukai mereka.

    “Jika masih tidak faham, mereka boleh jumpa pegawai kami bagi dapat penerangan. Jangan hanya tunggu kami datang kepada mereka. Prosedur tetap sama untuk semua orang dan tiada yang istimewa,” tegasnya.

    Gulp! Pastikan anda yang wajib membayar cukai pendapatan tahunan tidak lupa menjalankan kewajipan anda, jika tidak pasti sekurang-kurangnya telefonlah pihak LHDN sendiri! – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Selepas Shaheizy Sam, LHDN Buru Lagi Artis "