• Sejuta Pelarian Sudan Selatan Lari Ke Uganda

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+


    ARUA – Jumlah rakyat Sudan Selatan yang melarikan diri ke Uganda mencecah sejuta orang, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, tanpa ada tanda perang akan berakhir.

    Perang saudara hampir empat tahun itu menyaksikan purata 1,800 rakyat Sudan Selatan masuk ke negara jiran, Uganda, setiap hari sejak setahun lalu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak melarikan diri daripada ‘keganasan kejam’, menurut agensi pelarian PBB (UNHCR).

    Tambahan sejuta orang lagi mendapatkan perlindungan di tempat lain di rantau itu, namun Uganda, satu daripada negara termiskin dunia bersaiz sebesar United Kingdom, yang menanggung krisis itu.

    Sejuta pelarian lain itu melarikan diri ke Sudan, Habsyah, Kenya, Republik Demokratik Congo dan Republik Afrika Tengah, menurut perangkaan PBB. Dua juta lain kehilangan tempat tinggal.

    “Kami masih menerima ketibaan baharu dan kami tidak dapat melihat, jika anda boleh katakan, berakhirnya kedatangan pelarian,” kata Bik Lum, ketua UNHCR di utara Uganda di sini.

    Ia menempatkan kem pelarian terbesar dunia di Bidibidi dengan sekitar 270,000 orang.

    Ramai tiba membawa kisah sedih bersama seperti Jasmine Ramadan, pelarian yang kini bekerja sebagai peniaga di Uganda, memberitahu AFP bagaimana kenderaannya ditahan lelaki bersenjata dan menculik anak perempuannya berusia 13 tahun untuk dirogol.

    Dia merayu supaya mereka mengambilnya dan akhirnya dia sendiri dirogol enam lelaki sambil disaksikan anak perempuannya yang bersembunyi dalam semak berhampiran.

    Perang saudara Sudan Selatan meletus pada Disember 2013, dua tahun selepas ia memperoleh kemerdekaan apabila Presiden Salva Kiir menuduh bekas timbalannya Riek Machar berkomplot merampas kuasa. – AFP/BH ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Sejuta Pelarian Sudan Selatan Lari Ke Uganda "