• Saya Tetap Yakin Dengan Ahmad Zahid - Najib

    Published: Sunday, 6 August 2017
    A- A+

    SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan keyakinan beliau terhadap timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sebalik apa yang dilihat sebagai cubaan seorang bekas pemimpin negara untuk melaga-lagakan mereka.

    Mereka berdua telah bersama-sama mengharungi waktu susah dan senang sejak 1986, kata Najib yang merujuk kepada semasa beliau menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan sebelum disertai Ahmad Zahid sebagai setiausaha politiknya.

    Selain itu, Najib yang juga presiden UMNO berkata beliau dulu pernah membantu Ahmad Zahid mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO Bagan Datoh (kini Bagan Datuk).

    "Sebab itu saya ingin beritahu anda bahawa pimpinan UMNO kukuh, yakinlah saya tetap yakin pada timbalan saya (Ahmad Zahid). Kita tidak usah fikir bab ini, banyak lagi yang perlu kita lakukan," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam di sini, hari ini.

    Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini mendakwa Ahmad Zahid pernah menemui beliau dalam cubaan menjatuhkan Najib dua tahun lalu.

    Namun Ahmad Zahid, naib presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti, dilaporkan berkata beliau mempunyai bukti rakaman bagi menangkis tuduhan itu.

    Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) turut memperkatakan tentang tindakan Dr Mahathir menggunakan kuasanya ketika menjadi perdana menteri apabila menahan Ahmad Zahid di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

    "Bayangkan Ahmad Zahid yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO Malaysia kena masuk ISA. Dia (Dr Mahathir) kemudian hantar dua SB (pegawai Cawangan Khas) pergi jumpa Ahmad Zahid dan beritahu kalau nak keluar daripada ISA lebih awal Ahmad Zahid perlu tandatangan surat letak jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia...akhirnya dia tandatangan lepaskan jawatan," kata perdana menteri.

    Najib seterusnya berkata Ahmad Zahid sekali lagi didatangi pegawai SB keesokannya dan memintanya menandatangan satu lagi surat bahawa dia meletak jawatan atas kerelaan hati.

    "Ahmad Zahid ditekan ibarat pistol di letak pada kepalanya! sebab itu Ahmad Zahid tidak lupa! sebab itu tidak masuk akal dia jumpa Tun M minta sokongan untuk gulingkan saya. Ini satu fitnah sama sekali," tegas perdana menteri.

    Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam Datuk Azhari Shaari.

    Mengenai kehadirannya pada perasmian mesyuarat hari ini, Najib berkata beliau memilih Shah Alam daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor bagi menghantar satu mesej politik. iaitu sekiranya UMNO dan BN ingin mengubah landskap politik dengan kembali berkuasa di negeri itu, gelombang kuat harus bermula di kawasan Parlimen Shah Alam.

    "Jangan sampai tiga kali (kecundang dalam cubaan kembali berkuasa di Selangor). Kali ini kita bangkit semula dengan kekuatan baharu, kita rampas Shah Alam dan Selangor� jadikan negeri ini milik UMNO dan BN," katanya.

    Untuk tujuan itu, Najib berkata UMNO dan BN perlu menyusun strategi dan perancangan bersepadu untuk meyakinkan rakyat Selangor bahawa pentingnya mempunyai kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan daripada parti yang sama.

    Katanya, rakyat harus diperlihatkan bahawa kerajaan UMNO dan BN telah mencapai banyak kejayaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan sekiranya parti yang sama memerintah Selangor, negeri itu akan pesat membangun pada masa akan datang.

    "Kita kena beritahu rakyat janji mudah, cakap mudah oleh pihak pembangkang murah nilainya, tetapi kestabilan politik dalam negara, keamanan dan keharmonian dibawa UMNO dan BN tinggi nilainya dan tidak boleh dipandang sepi," kata Najib.

    Menurutnya, rakyat Selangor perlu mengetahui tentang kegagalan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat melaksanakan janji yang dibuat pada pilihan raya umum (PRU) lalu, seperti kegagalan menyediakan pendidikan percuma di negeri itu.

    "Sebab itu kita akan sediakan manifesto PRU ke-14 untuk Selangor yang boleh dipercayai dan mampu dilaksanakan. Kita dah rasai keperitan jadi pembangkang dan kita nak tawar satu kerajaan lebih baik untuk rakyat Selangor," katanya.

    Pada majlis sama, Najib mengumumkan peruntukan RM3 juta kepada UMNO Bahagian Shah Alam untuk melaksanakan program kemasyarakatan di kawasan parlimen itu termasuk kemudahan surau, masjid dan aktiviti rumah ibadat bagi penganut agama lain. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Saya Tetap Yakin Dengan Ahmad Zahid - Najib "