• Sauu Kakok, Antara Profesional Dayak Sesuai Sertai Petros

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+
    foto: http://www.oilandgascouncil.com
    KUCHING: Ketika segelintir masyarakat Dayak mempertikai barisan Ahli Lembaga Pengarah Petros yang baru diumumkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak menerusi satu kenyataan akbar pada khamis lepas, tiba-tiba nama Sauu Kakok muncul ditengah-tengah komentar yang menarik perhatian netizen.

    Sauu Kakok dikatakan sangat berpengalaman luas dalam aktiviti penerokaan huluan industri minyak dan gas di seluruh dunia.

    Menurut sumber, Kakok yang berbangsa Bidayuh mendapat pendedahan dan memainkan peranan penting diperingkat antarabangsa dalam industri terbabit.

    Hasil carian di internet, beliau kini bertugas sebagai Naib Presiden, Offshore – Asia Pacific for Hess Corporation (APAC), sebuah syarikat tenaga bebas global terkemuka yang terlibat dalam penerokaan dan pengeluaran minyak mentah dan gas asli.

    Menurut maklumat dilaman Oil and Gas Council, Kakok mempunyai pengalaman selama 37 tahun dalam penerokaan huluan minyak dan gas kini bertanggungjawab untuk perniagaan Malaysia dan menguruskan hubungan pemegang kepentingan luar Hess dalam Asia Tenggara.

    Isu perlantikan Ahli Lembaga Pengarah Petros menjadi perbualan hangat di media sosial kalangan kaum Dayak, berikutan ketiadaan personaliti Dayak bukan Islam dilantik ke jawatan tersebut.

    Susulan itu Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas mengumumkan kerajaan akan melantik Bumiputera bukan Islam untuk jawatan Ahli Lembaga Pengarah.

    Memetik laporan Utusan Borneo pada Isnin, Datuk Amar Douglas Uggah menjelaskan, Bumiputera bukan Islam antara ahli Lembaga Pengarah Petros akan dilantik dalam waktu terdekat ini.

    “Beliau (Abang Johari) telah memberitahu saya beberapa jam tadi agar saya mencari calon. Beliau sekarang mahu Bumiputera bukan Islam dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Petros,” ujarnya.

    Uggah dipetik sebagai berkata pelantikan itu penting kerana sebelum ini isu tiada Bumiputera bukan Islam dilantik dalam Lembaga Pengarah Petros hangat dibincangkan dalam media sosial.

    Bagaimanapun ujarnya, mencari calon yang berkebolehan dalam kalangan Bumiputera bukan Islam untuk jawatan itu bukan tugas mudah.

    Khamis lepas, Pejabat Ketua Menteri menerusi kenyataan akhbar mengumumkan pelantikan Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo sebagai pengerusi Petros.

    Hamid bekas setiausaha kerajaan negeri dan berkhidmat dengan Malaysia LNG Sdn Bhd di Bintulu.

    Manakala lima ahli Lembaga Pengarah dan empat daripadanya telah dilantik ialah Datuk Mohammad Medan Abdullah, Sharbini Suhaili, Zuraimi Sabki dan Heng Hock Cheng.-Sarawakiana

  • No Comment to " Sauu Kakok, Antara Profesional Dayak Sesuai Sertai Petros "