• Satu Lagi Diisytihar Kawasan Baru Wabak Rabies Di Serian

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+

    KUCHING: Kampung Kuala di Bahagian Serian diisytiharkan sebagai kawasan terbaru wabak Rabies, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

    Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengrusuan Bencana Negeri (JBPN) berkata, sehingga kini bahagian Serian mencatatkan 19 kawasan diisytihar sebagai kawasan wabak rabies, manakala tiga lagi kawasan adalah di bahagian Kuching, dan satu di bahagian Sri Aman.

    Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun dari Kampung Kuala, Serian, disahkan positif dijangkiti virus rabies yang mempunyai sejarah digigit anjing pada 17 Jun lalu.

    Difahamkan kanak-kanak tersebut kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Umum Sarawak dan berada dalam keadaan kritikal.

    Ini menjadikan sehingga kini enam kes positif virus rabies telah dikesan di Sarawak sejak Jun lepas, dengan lima daripada penghidapnya telah meninggal dunia.

    Dalam kenyataan tersebut JBNS berkata susulan itu, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) telah menghantar dua kumpulan survelan ke Kampung Kuala, di Serian bagi menyiasat dan membuat persampelan.

    Sebanyak 504 ekor anjing telah divaksin - 74 di bahagian Serian; 430 di 11 kampung di daerah Lundu, menjadikan jumlah haiwan kesayangan yang telah divaksin hingga hari ini adalah 29,098 ekor yang terdiri daripada 21,456 anjing, 7,597 kucing dan 45 lain-lain haiwan peliharaan.

    Selain itu, JPVS juga setakat ini telah mengadakan sebanyak 161 kempen kesedaran mengenai wabak penyakit Rabies di kampung-kampung dan sekolah yang dihadiri oleh 31,682 orang peserta.

    Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan bahawa sebanyak 115 kes gigitan baru dilaporkan setakat semalam iaitu 48 kes daripada Bahagian Serian, 2 kes daripada Bahagian Sri Aman, 39 kes daripada Bahagian Kuching dan 26 kes daripada Bahagian Samarahan.

    Daripada jumlah tersebut, 99 kes melibatkan haiwan peliharaan iaitu anjing 52 kes, kucing 46 kes, monyet 2 kes dan khinzir satu kes.

    Manakala 16 kes melibatkan haiwan liar iaitu anjing 14 kes dan kucing 2 kes. Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku mulai 01 April 2017 hingga ke hari ini, adalah berjumlah 1,869 kes.

    Secara kumulatifnya, seramai 857 orang telah menerima suntikan vaksin antirabies. – Sarawakaiana
  • No Comment to " Satu Lagi Diisytihar Kawasan Baru Wabak Rabies Di Serian "