• Satelit Belon Di Kawasan Pendalaman Sarawak Dipertimbangkan

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+

    KUCHING: Penggunaan Satelit Belon (Balloon Satellite) di kawasan pendalaman Sarawak selain menara telekomunikasi, akan dipertimbangkan bagi meningkatkan perkhidmatan Internet di seluruh negeri.

    Menurut Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, satelit belon boleh meliputi spektrum yang lebih luas dan berfungsi dengan lebih baik berbanding menara telekomunikasi terutama di kawasan tidak rata.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, penggunaan Satelit Belon boleh diguna di kawasan yang tidak dapat diliputi menara telekomunikasi kerana keadaan muka bumi bergunung-ganang.

    “Projek tersebut sedang dibina di Long San, Ulu Baram, ini adalah eksperimen.

    “Sekiranya berjaya, kita (Sarawak) akan menjadi yang pertama menggunakan teknologi ini. Sekarang saya sedang menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat dari Silicon Valley, Amerika Syarikat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hab Inovasi Digital TEGAS (TDIH) di iCOM Square di sini semalam.

    Beliau yang melakukan lawatan kerja ke Long San Ahad lepas berkata sukarelawan dari Silicon Valley kini berada di kawasan pedalaman itu untuk menyediakan kelas tuisyen Sains dan Matematik kepada pelajar di sana menggunakan tablet.

    “Bayangkan, sukarelawan dari Silicon Valley, sanggup datang ke Long San mengajar anak-anak kita di sana algebra dan algoritma.

    “Anak-anak kita di Long San kini belajar algebra menggunakan tablet.

    “Jika kawasan luar bandar ini berjaya, kita boleh melakukan perkara sama di kawasan lain dengan itu pelajar-pelajar kita akan cemerlang dalam Matematik,” ujarnya.

    Sementara itu, Abang Johari berkata antara usaha kerajaan negeri meningkatkan penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar ialah membantu Kementerian Pendidikan menyediakan makmal di sekolah khususnya di pedalaman Sarawak.

    Dimaklumkan terdapat beberapa sekolah menengah rendah di kawasan luar bandar di negeri ini tidak mempunyai makmal sains.

    “Bagaimana hendak mempelajari seterusnya menguasai STEM, kalau makmal sains pun tidak ada.

    “Sekarang Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin sibuk berusaha melengkapkan sekolah-sekolah di Sarawak yang belum memiliki makmal sains dengan kemudahan itu,” katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Satelit Belon Di Kawasan Pendalaman Sarawak Dipertimbangkan "