• Sarawak Report Tiada Bukti PM Malaysia Rasuah

    Published: Sunday, 6 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Mahkamah London awal-awal menolak hujah pengendali Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown kononnya kerajaan Malaysia dan Perdana Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengamalkan rasuah sewaktu prosiding pengurusan kes saman fitnah oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang keatas Sarawak Report di London dua hari lalu.

    Clare mengemukakan hujah itu dalam prosiding berkenaan bagi menuntut Presiden PAS mendepositkan wang kira-kira RM4.5 juta kepada Mahkamah London sebagai jaminan keselamatan jika PAS kalah dalam saman fitnahnya ke atas Sarawak Report dan perlu membayar kos guaman Clare.

    Permintaan itu juga dipercayai sebagai langkah Clare menyekat PAS daripada meneruskan saman keatas Sarawak Report yang menuduh PAS menerima rasuah RM90 juta daripada Perdana Menteri Malaysia memandangkan PAS diyakini tidak mampu untuk menyediakan wang deposit sebanyak itu.

    Presiden PAS hanya bersetuju dengan deposit keselamatan RM80,000 yang padanya memadai serta tidak kontroversi dan Mahkamah London bersetuju dengan jumlah tersebut atas dasar hujah Clare bahawa badan kehakiman, kerajaan Malaysia dan Perdana Menterinya mengamalkan rasuah dan bersekongkol dengan Presiden PAS tidak disokong sebarang bukti.

    Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Presiden PAS diwakili pasukan peguam dari firma Carter-Ruck dan barrster Jacob Dean di London dalam kes berkenaan.

    “Mahkamah London juga mendapati tuduhan serius itu tidak disokong bukti oleh Clare walaupun beliau mempunyai masa berbulan-bulan untuk berbuat demikian. Mahkamah juga tidak menerima hujah Clate tanpa membawa bukti bahawa sebuah negara luar berdaulat yang mempunyai hubungan diplomatik baik dengan United Kingdom telah mengamalkan rasuah.

    “Hasil hujah kosong dalam permohonan Clare, mahkamah telah mengarahkan beliau membayar dua pertiga daripada kos terlibat. Clare mesti membayar £15,000 (hampir RM84,000) terhadap kos prosiding oleh Presiden PAS di mana kuantum pembayarannya akan di pantau oleh mahkamah.

    “Mahkamah London juga mengarahkan Clare untuk membuat pembelaan beliau dalam tempoh 21 hari supaya kes ini dapat diteruskan dan beliau tidak lagi berlarutan untuk berdolak dalih. Permohonan rayuan Clare terhadap keputusan itu juga telah tidak dbenarkan oleh Mahkamah London,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Sarawak Report yang dikendalikan oleh Clare sebelum ini menerbitkan artikel menuduh PAS menerima rasuah RM90 juta daripada Najib. Ironinya atrikel itu diterbitkan sejurus PAS menolak pelawaan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bekerjasama.

    Tuduhan Sarawak Report itu kemudian dicanang oleh pemimpin dan penyokong PKR, DAP serta Parti Amanah Negara (PAN) di media sosial bagi memburuk-burukkan PAS dan Najib.

    Untuk rekod, Sarawak Report sering memburuk-burukkan Najib dan kerajaan Malaysia dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan itu kemudian akan diangkat sebagai modal politik oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan.

    Berikut kenyataan PAS yang seterusnya berhubung kes saman fitnah berkenaan:

    “Perkembangan ini adalah sangat positif, dalam proses Presiden PAS untuk membersihkan nama beliau terhadap tuduhan fitnah melampau oleh Clare dan artikelnya dalam Sarawak Report.

    Presiden PAS mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Mr Adam Tudor dan pasukan peguamnya dari Carter-Ruck, London dan di Malaysia.

    Presiden PAS juga sebenarnya dimaklumkan oleh firma Carter-Ruck bahawa Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London juga menghantar wakil dalam prosiding ini, dan telah memaklumkan bahawa kehadiran mereka adalah sebagai pemerhati prosiding kerana banyak tuduhan politik yang dibuat terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia serta Badan Kehakiman di Malaysia oleh Clare dalam dokumen beliau yang dikemukakan ke mahkamah”. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Sarawak Report Tiada Bukti PM Malaysia Rasuah "