• Sarawak Masih Catat Peratusan Remaja Hamil Tertinggi Di Malaysia

    Published: Friday, 11 August 2017
    A- A+


    Kuching : Sarawak kekal mencatat peratusan remaja hamil paling tinggi di Malaysia, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Fatimah Abdullah.

    Menurutnya, peratusan kes remaja hamil di Sarawak  adalah antara 6.4% sehingga 9.9% berbanding jumlah ibu yang mendaftar kehamilan iaitu sekitar 2.4% hingga 4.1%.

    "Kita telah menetapkan KPI supaya berlaku penurunan dalam bilangan kes remaja hamil yang direkodkan sebanyak 10% setiap tahun berbanding kes dalam tahun sebelumnya," katanya.

    Beliau menambah statistik bagi enam bulan pertama tahun ini berjumlah 1,135 kehamilan remaja direkodkan lebih rendah dari tahun sebelumnya iaitu 2481.

    "Ini memberi gambaran awal bahawa penubuhan Jawatankuasa One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) memberikan impak positif." ujarnya

    Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran Panduan Pengurusan Kes Remaja Hamil di Sarawak yang menyeragamkan SOP antara agensi khususnya di peringkat bahagian di sini, hari ini.

    "Melalui OSTPC ini, permasalah yang dihadapi remaja hamil dapat ditangani dengan lebih berkesan terutamanya isu-isu berkaitan penyelesaian masalah," ujarnya.

    Selain itu, katanya semua pihak yang berkaitan harus memainkan peranan masing-masing dalam membantu remaja hamil menangani isu yang dihadapi mereka. - Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Masih Catat Peratusan Remaja Hamil Tertinggi Di Malaysia "