• Sarawak Berpeluang Miliki 10 Peratus Saham MLNG Train 9

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+

    Sarawak berpeluang cerah memiliki 10 peratus saham MLNG Train 9 selepas Petronas mengesahkan negeri ini dalam senarai mereka, kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau berkata, kerajaan negeri akan memberi 10 peratus daripada saham MLNG Train 9 milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang beroperasi di Kompleks LNG Petronas (PLC) di Bintulu.

    "Ya, saya ingin mengesahkan Sarawak akan membeli saham MLNG Train 9 sebanyak 10 peratus. Petronas juga telah mengesahkan kita dalam senarai mereka.

    "Persoalannya sekarang berapa nilai saham itu dan kita akan perincikan kemudian," katanya.

    Laporan akhbar sebelum ini menyatakan MLNG Train 9 mencapai status Sedia untuk Bermula (Ready for Start-Up) pada Jun 2016.

    Ia mempunyai kapasiti pengeluaran 3.6 juta tan setahun.

    Ia dilaporkan memulakan operasi komersial pada suku pertama tahun ini (2017).

    Ini bermakna dengan beroperasinya loji MLNG Train 9 yang dimiliki Petronas LNG9 Sdn Bhd (PL9SB), Kompleks LNG Petronas kini mempunyai kapasiti pengeluaran kira-kira 30 juta tan setahun.

    PL9SB ditubuhkan pada 2012 dan merupakan anak syarikat milik penuh Petronas, loji LNG yang kesembilan di Kompleks LNG Petronas, Bintulu.-Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Berpeluang Miliki 10 Peratus Saham MLNG Train 9 "