• Sarawak Akan Wujudkan Ekosistem Pendidikan Yang Baik - Abang Johari

    Published: Saturday, 19 August 2017
    A- A+
    Foto : FB Jabatan Penerangan Sibu/Mukah


    Sarawak akan mewujudkan ekosistem yang baik bagi mendekatkan anak-anak negeri ini dengan ilmu dan penerokaan ilmu yang baharu, kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

    Beliau berkata, ia merupakan satu daripada inisiatif untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri termaju pada 2030 nanti.

    "Kita hendak mewujudkan masa depan yang cerah supaya anak-anak Sarawak setanding dengan anak-anak dunia," katanya sambil menambah penekanan akan diberikan ke atas pendidikan yang lebih berhemah dan mempunyai teknologi terkini.

    Dengan adanya kepakaran di dalam bidang teknologi yang tinggi, anak-anak Sarawak kelak, mampu menjalankan penyelidikan berteknologi tinggi ke atas sumber alamnya yang kaya bagi menghasilkan produk-produk yang baharu, katanya.

    Abang Johari berkata demikian semasa majlis perasmian Negaraku Sehati Sejiwa peringkat Negeri Sarawak di Dataran Pehin Setia Raja di sini Sabtu.

    Menurut beliau, ekonomi Sarawak kini sudah berintegrasi dengan ekonomi serantau dan dunia, maka anak-anak Sarawak hendaklah mempunyai minda bertahap global di dalam usaha untuk mendirikan anak bangsa dan membangunkan negeri ini agar setanding dengan negeri-negeri lain.

    Beliau berkata, kerajaan akan mampu memberikan fokus kepada pembangunan di negeri ini bagi membolehkan rakyatnya yang berbilang bangsa dapat mengekalkan silaturrahim dan perpaduan yang kukuh sehingga mendapat pengiktirafan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Katanya, apabila sudah menjadi sebuah negeri yang maju nanti, Sarawak akan mampu menyumbang kepada pembangunan Malaysia.

    Bagi memeriahkan majlis itu, turut diadakan persembahan nyanyian patriotik, upacara mengibar Jalur Gemilang dan pelepasan Konvoi Jalur Gemilang.

    Turut hadir isteri Ketua Menteri Datin Amar Datuk Juma'ani Tuanku Bujang.



    -- BERNAMA
  • No Comment to " Sarawak Akan Wujudkan Ekosistem Pendidikan Yang Baik - Abang Johari "