• Rakyat Berpeluang Saksikan Istiadat Perkahwinan Tunku Tun Aminah Secara Langsung

    Published: Friday, 11 August 2017
    A- A+


    Berita baik kepada seluruh rakyat Malaysia, orang ramai berpeluang untuk menyaksikan istiadat perkahwinan puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan pasangannya Dennis Muhammad Abdullah, di Istana Besar, Johor Bahru pada 14 ogos ini.

    Royal Press Office (RPO) dalam kenyataan terbaharu pada Khamis petang memberitahu dua skrin besar akan dipasang di Dataran Bandaraya dan di bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru bermula jam 8 malam bagi membolehkan orang ramai menyaksikan istiadat perkahwinan pasangan diraja berkenaan secara langsung.

    Menurut kenyataan itu, istiadat persandingan diraja yang akan berlangsung jam 8 malam di Bilik Singgahsana, Istana Besar dihadkan hanya kepada kerabat diraja dan orang kenamaan.

    “Bagaimanapun, tetamu jemputan yang lain berupaya menonton majlis berkenaan menerusi skrin digital di khemah-khemah putih yang didirikan berhampiran Tangga Agung di istana berusia 151 tahun itu.

    “Orang ramai turut boleh mengikuti majlis perkahwinan diraja di Istana Besar itu secara langsung menerusi dua skrin LED khas,” kata pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor, semalam.

    Terdahulu, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, istiadat pertunangan diadakan pada 10 pagi, 14 Ogos, di Istana Bukit Serene, diikuti istiadat nikah dengan Sultan Ibrahim berkenan mewakilkan Mufti Johor Datuk Muhammad Tahrir Shamsudin sebagai wali.

    Sementara, istiadat persandingan pasangan pengantin diraja akan diadakan di Bilik Singgahsana Istana Besar, pada 8 malam, hari yang sama.

    Tambah RPO, persiapan akhir menjelang istiadat perkahwinan pasangan diraja sedang giat dijalankan, yang mana ia secara rasmi dimulakan dengan Istiadat Meletak Kerja di Tugu Peringatan Istana Besar, yang berlangsung pada 8 Ogos lalu.

    “Selain bendera negeri yang dipasang di beberapa jalan utama, persekitaran Istana Besar turut dihiasi dengan bunga-bungaan dan limpahan cahaya berwarna-warni,” katanya.

    Majlis Doa Selamat dan bacaan Yasin telah berlangsung malam tadi di Masjid Pasir Pelangi, dihadiri keluarga diraja Johor dan para tetamu jemputan.

    Majlis pertunangan diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat, akan berlangsung di Istana Bukit Serene pada jam 10 pagi (14 Ogos), diikuti istiadat akad nikah.

    Istiadat perkahwinan pasangan berkenaan akan berlangsung dengan penuh tradisi dan adat istidat budaya Johor.

    Dalam kenyataan sebelum ini, Tunku Tun Aminah yang dilahirkan pada 8 April 1986, memberitahu beliau bakal mengenakan pakaian tradisional Baju Kurung Teluk Belanga, sementara Dennis memakai Baju Melayu Teluk Belangga pada hari perkahwinan mereka.

    “Memandangkan ini yang ayahanda dan bonda mahukan, saya tidak mempunyai masalah mengenakan busana tradisional Johor tulen untuk majlis perkahwinan itu nanti,” kata Tunku Tun Aminah. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Rakyat Berpeluang Saksikan Istiadat Perkahwinan Tunku Tun Aminah Secara Langsung "