• Rafizi dedah kepincangan dalam PKR selepas Anwar dipenjara

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+
    Rafizi Ramli hari ini mendedahkan kepincangan di kalangan pucuk pimpinan parti itu, dengan berkata pemimpin atasan yang menganggotai Biro Politik yang berkuasa menentukan hala tuju parti sering tidak sealiran, malah keputusan yang dicapai juga tidak dihormati.

    Menurut naib presiden PKR itu, suasana itu berlaku sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan pada Februari 2015 dulu.

    “Jika pun telah ada persetujuan di peringkat Biro Politik, jika itu tidak disukai oleh seseorang maka keputusan itu tidak dihormati malah akan dibuka balik di dalam mesyuarat Biro Politik yang seterusnya untuk ditukar kembali,” kata Rafizi, mejelaskan punca beliau tidak hadir mesyuarat badan tertinggi yang menentukan hala tuju parti itu.

    Rafizi turut memberikan 2 contoh bagaimana pimpinan kanan PKR membelakangi keputusan Biro Politik, iaitu ketika pilihan raya Sarawak pada Mei tahun lalu, di mana keputusan mengekalkan persetujuan pembahagian kerusi di kalangan anggota PH yang ditandatangani Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali sendiri diabaikan.

    Rafizi berkata penyertaan PH dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu untuk membantu calon Amanah turut dilengah-lengahkan, memaksanya mengeluarkan arahan selaku setiausaha agung ketika itu supaya jentera parti turun membantu Amanah “tanpa menunggu keputusan Biro Politik yang tidak kunjung tiba”.

    Semalam, Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin menyelar Rafizi kerana mempersoalkan keputusan parti untuk mengadakan rundingan dengan PAS, dengan berkata beliau sudah lama tidak hadir dalam mesyuarat Biro Politik.

    Rafizi berkata beliau bertindak demikian kerana mahu mengelakkan sebarang perbezaan pendapat “beerpanjangan” yang menurutnya “membantutkan persediaan parti menjelang PRU14”.

    Baru-baru ini, Rafizi menyifatkan pimpinan atasan PKR berpecah 2 dalam isu sama ada parti itu perlu berunding dengan PAS, walaupun parti Islam itu bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan dan sudah pun memutuskan sebarang kerjasama dengan parti.

    Rafizi turut menamakan pemimpin yang pro dan kontra dalam soal menjalinkan kerjasama dengan PAS, dan berkata kekeliruan itu hanya boleh diselesaikan sekiranya isu itu diserahkan kepada akar umbi parti dalam kongres khas.

    Cadangan itu bagaimanapun ditolak pemimpin PKR yang dilihat tidak sehaluan dengan Rafizi, termasuk Azmin, yang sebelum ini mempertahankan usahanya berunding dengan PAS.

    Tak pasti kekal politik

    Rafizi hari ini berkata beliau kerap memberikan laporan tugasnya dalam parti termasuk Invoke Malaysia, pusat kajian diketuainya untuk membantu mengumpul data sentimen pengundi bagi pihak PKR.

    Menurutnya, ketika Azmin dibenarkan berunding dengan PAS untuk mencari jalan mengelak pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum akan datang, beliau pula membina kempen melibatkan kerusi marginal melalui Invoke.

    “Sementara saya mungkin tidak ke Biro Politik, itu tidak bermakna saya tidak tahu perkembangan parti kerana saya bermesyuarat dengan presiden, setiausaha agung… setiap minggu,” kata Rafizi yang meletak jawatan sebagai setiausaha agung pada November lalu.

    Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Azmin sebagai antara orang yang kerap berbincang dengannya.

    Rafizi berkata perbezaan pendapat yang masih berlaku di dalam PKR ketika pilihan raya semakin dekat meyakinkannya hanya sebuah kongres khas dapat “mendamaikan semua pihak mengenai kerjasama dengan PAS”.

    Sementara itu, beliau enggan mengulas lanjut pelbagai kritikan oleh pemimpin PKR terhadapnya, dan sekadar berkata masa depan politik beliau kini tidak tentu disebabkan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya.

    Minggu lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya mengetepikan sabitannya di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan laporan audit 1MDB, dan menetapkan hukuman 18 bulan.

    Beliau juga berdepan tuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan butiran kenyataan kewangan akaun milik National Feedlot Corp (NFC).

    “Saya tahu ramai yang sering merasakan saya mengancam kedudukan politik mereka,” kata Rafizi.

    “Saya tidak pasti sama ada saya akan kekal di dalam politik selepas saya menjalani hukuman (jika rayuan ditolak) kerana saya tidak boleh membaca masa depan.

    “Oleh itu, saya tidak sewajarnya dilihat sebagai satu ancaman politik kepada rakan-rakan; sekadar seorang yang sudah terbiasa bersuara apabila saya berbeza pendapat.” - FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Rafizi dedah kepincangan dalam PKR selepas Anwar dipenjara "