• #QuranHour: Rosyam Nor daki tangga Menara KL

    Published: Wednesday, 9 August 2017
    A- A+

    SHAH ALAM: Duta World #QuranHour, Datuk Rosyam Nor akan memanjat anak tangga Menara Kuala Lumpur sebagai usaha mempromosi program berkenaan.

    Rosyam bersama 14 individu lagi dijangka mendaki kira-kira 2,200 anak tangga Menara KL pada 10.30 pagi, 21 Ogos ini.

    Rosyam berkata, beliau bersama dua lagi individu akan mendaki tangga dengan membawa bendera Malaysia dan bendera World #QuranHour serta senaskah al-Quran.

    Bendera dan al-Quran berkenaan dijadualkan akan diserahkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Keruak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dasuki.

    "Untuk tahun ini, saya bercadang memanjat anak tangga Menara Kuala Lumpur sebagai simbolik sokongan terhadap kempen World #QuranHour yang memasuki tahun ketiga.

    "Kita mahu kempen program ini sampai kepada semua masyarakat, bukan sahaja dikhaskan untuk umat Islam semata-mata tetapi juga kepada bangsa lain," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

    Walaupun tidak membuat persediaan khusus untuk misi mendaki itu berikutan sibuk dengan jadual penggambaran, Rosyam yakin dapat menamatkan pendakian dalam sejam.

    "Aktiviti rutin harian seperti berkebun, sedikit sebanyak membantu saya mendapatkan stamina," katanya.

    Program QuranHour dijadualkan berlangsung jam 11.30 pagi 31 Ogos ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

    Sambutan juga akan diadakan pada jam 8.30 malam di Dataran Merdeka yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " #QuranHour: Rosyam Nor daki tangga Menara KL "