• PRU14: PBB Boleh Sekali Lagi Sapu Bersih 13 Kerusi Ditandingi

    Published: Friday, 11 August 2017
    A- A+

    Jika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menyaksikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyapu bersih 13 kerusi yang ditandingi dengan majoriti undi meningkat, perkara sama mungkin akan berulang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

    Dilihat kepada perkembangan politik semasa, PBB agak kukuh kerana tidak dibelenggu masalah dalaman parti selain mempunyai kepimpinan yang berkaliber.

    PRU13 juga menyaksikan PBB cemerlang dengan hampir semua kawasan melakar majoriti meningkat dan ia membayangkan sokongan padu pasti akan terus diberikan kepada parti pimpinan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg itu.

    Antara kawasan yang ditandingi PBB termasuk Santubong, Petra Jaya, Kota Samarahan, Puncak Borneo, Batang Sadong, Batang Lupar, Betong, Tanjong Manis, Igan, Mukah, Kapit, Sibuti dan Limbang.

    Sebelum ini, Abang Johari yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri memberi bayangan beberapa muka baharu akan ditampilkan pada PRU14.

    Menurut Abang Johari, antara yang mengesahkan tidak mempertahan jawatan termasuk Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Dr James Dawos Mamit.

    Dawos pernah sebelum ini menamakan Datuk Detta Samen sebagai calon berpotensi menggantikannya atas faktor kesihatan.

    Turut tidak mempertahankan kedudukan ialah Ahli Parlimen Betong Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang berkemungkinan digantikan oleh Robert Lawson Chuat.

    "Nama-nama lain akan kita umum apabila tiba masanya. Masih terlalu awal," kata Abang Johari.

    Walaupun terdapat beberapa calon baharu akan ditampilkan, PBB masih mempunyai kekuatan untuk sekali lagi mencatatkan kemenangan 100 peratus.-Sarawakiana


    Subjects:

  • No Comment to " PRU14: PBB Boleh Sekali Lagi Sapu Bersih 13 Kerusi Ditandingi "