• Program SHIP Tingkat Pendapatan - PM

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Program Kerjaya Berpendapatan Tinggi (SHIP) bakal meningkatkan pembabitan Bumiputera dalam kerjaya berpendapatan lebih RM20,000 sebulan, kata Datuk Seri Najib Razak.

    Perdana Menteri berkata, pendapatan tinggi itu dapat dicapai menerusi latihan dan pensijilan khusus dalam bidang terpilih dengan fokus diberikan kepada industri yang memerlukan tenaga mahir dan profesional seperti perkhidmatan kewangan, perniagaan, kesihatan, maritim dan aero angkasa.

    "Program SHIP ini akan memberi tumpuan kepada mereka yang berpendapatan pertengahan dengan pengalaman bekerja yang berkaitan. Kursus di bawah program dibiayai Bank Rakyat ini akan mengambil tempoh masa tiga hingga lima tahun.

    "Apa yang menarik bagi program ini apabila seseorang tamat program pengkhususan akan dapat pertimbangan pengurangan pinjaman maksimum 20 peratus dan ini adalah satu insentif," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Program Kerjaya Berpendapatan Tinggi (SHIP) dan #iniceritasaya di sini, hari ini.

    Program baharu itu dipersetujui Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Bumiputera) yang dipengerusikan perdana menteri hari ini.

    Perdana Menteri berkata, permohonan penyertaan akan dibuka pada penghujung September ini dengan fasa pertama akan membabitkan seramai 50 penerima faedah dengan pembiayaan maksimum berjumlah RM10 juta di dalam industri perkhidmatan kewangan, kesihatan dan teknologi.

    "Fasa seterusnya akan bermula pada tahun depan dengan lebih banyak lagi bidang kepakaran dan industri yang akan diperkenalkan secara berperingkat membabitkan 250 penerima

    "Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan program ini di laman web Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Program SHIP Tingkat Pendapatan - PM "