• 5 Lagi Kampung Terlibat Program Pemvaksinan Haiwan Kesayangan

    Published: Monday, 21 August 2017
    A- A+

    KUCHING: Program Pemvaksinan Haiwan Kesayangan bagi mengawal wabak Rabies akan diteruskan esok pada 22 Ogos 2017 (Selasa) di lima buah kampung di kawasan Serembu.

    Perkara tersebut dimaklumkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sarawak selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan media di sini semalam.

    Menurutnya, secara kumulatif, sebanyak 32,644 ekor haiwan kesayangan yang terdiri dari 25,002 ekor anjing, 7,597 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksin.

    Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) juga meneruskan aktiviti penyiasatan kes-kes berkaitan wabak rabies.

    Katanya, sebanyak 36,816 survelan aktif dan 962 survelan pasif untuk mengawal penularan wabak rabies telah dilakukan oleh JPVS di kawasan Serian, Kuching dan Sri Aman.

    “Sejumlah 210 sampel yang terdiri daripada 192 sampel anjing, 17 sampel kucing dan satu sampel kelawar yang telah diperolehi dari bahagian Kuching, Sri Aman, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu dan Miri telah dihantar ke VRI, Ipoh untuk ujian virus rabies.

    “Setakat ini, 36 sampel anjing dan 6 sampel kucing dari Bahagian Kuching, Serian dan Sri Aman telah disahkan positif daripada 180 keputusan sampel yang diterima,” katanya.

    Selain itu, operasi bersepadu yang dikendali Kementerian Kerajaan Tempatan bersama JPVS setakat ini telah menangkap 1,129 ekor anjing terbiar di Bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Samarahan dan Betong sebagai langkah mengawal populasi anjing terbiar bagi mengekang jangkitan wabak penyakit tersebut.

    Pemilik haiwan kesayangan juga diingatkan agar mengelakan haiwan kesayangan samada yang telah atau belum divaksin dari bercampur dengan haiwan terbiar dan memerhati perubahan sikap dari jinak ke ganas, menggigit sebarang benda yang bergerak, takut air dan cahaya, menyendiri, air liur berlebihan, gelisah dan agresif.

    “Jika terdapat sebarang kemungkinan, hubungan Bilik Operasi Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak di talian 082443991 / 446991 / 447960 bersedia untuk memberi sebarang laporan mengenai wabak tersebut,” jelasnya.

    Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan bahawa sebanyak 19 kes gigitan baru dilaporkan pada hari ini; iaitu 7 kes daripada Bahagian Serian, 3 kes daripada Bahagian Sri Aman , 8 kes daripada Bahagian Kuching dan 1 kes daripada Bahagian Samarahan.

    Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku mulai 01 April 2017 hingga ke hari ini, adalah berjumlah 2,728 kes.

    Secara kumulatif juga, seramai 1007 orang telah menerima suntikan vaksin anti-Rabies.

    Untuk makluman, bukan semua kes gigitan yang memerlukan suntikan vaksin anti-Rabies.

    Setiap kes gigitan akan dinilai secara klinikal oleh pakar perubatan sebelum ditentukan samada vaksin diperlukan atau sebaliknya.

    Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut memohon orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 01 April 2017 hingga kini, untuk segera membuat pemeriksaan di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat. – Sarawakiana
  • No Comment to " 5 Lagi Kampung Terlibat Program Pemvaksinan Haiwan Kesayangan "