• Presiden China Ucap Tahniah Hari Kebangsaan

    Published: Wednesday, 30 August 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Presiden China, Xi Jinping mengutuskan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sempena sambutan Hari Kebangsaan, esok.

    Xi turut mengucapkan semoga Malaysia dan rakyatnya terus maju jaya di bawah naungan baginda.

    Katanya, sejak Malaysia merdeka pada 1957, banyak pencapaian luar biasa termasuk ekonomi dan pembangunan sosial serta peningkatan taraf hidup rakyat.

    Malaysia juga memainkan peranan yang penting dalam hubungan di rantau ini dan antarabangsa.

    "Sebagai rakan negara jiran, China ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pencapaian yang sudah dicapai dan kami percaya Malaysia mampu mencapai prestasi yang lebih besar dalam pembangunan dari titik permulaan yang baharu.

    "China dan Malaysia adalah negara jiran yang baik, rakan baik dan rakan kongsi yang baik, yang sangat bernilai kepada China dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

    "Kami bersedia meningkatkan kerjasama strategik dengan Malaysia, dan memperkukuhkan persefahaman melalui rangka kerja inisiatif Belt and Road dan mendorong hubungan lebih erat melalui program Rakan Kongsi Strategik Komprehensif China-Malaysia untuk terus berkembang dan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara," katanya.

    Sementara itu, Perdana Menteri China, Li Keqiang mengutuskan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara.

    Beliau berkata, di bawah kepintaran kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia yang menampilkan konsep '1 Malaysia' dan pelaksanaan pelbagai program transformasi ekonomi, menghasilkan perjalanan yang baik dalam pembangunan sosial dan ekonomi, serta pertumbuhan yang baik di rantau ini dan peringkat antarabangsa.

    "Kami sangat gembira dengan pencapaian anda. Malaysia adalah rakan yang boleh dipercayai dan rakan kongsi China. Inisiatif 'Belt and Road' adalah satu peluang bersejarah yang utama untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

    "Pihak kami bersungguh-sungguh untuk meningkatkan lagi kerjasama praktikal dengan pihak Malaysia dalam pelbagai bidang seperti kapasiti produktiviti dan pembangunan infrastruktur, meneruskan pembangunan mapan dalam Rakan Kongsi Strategik Komprehensif China-Malaysia dan mencapai manfaat bersama serta menang-menang untuk kedua-dua negara," katanya. - BHonline

    Subjects:

  • No Comment to " Presiden China Ucap Tahniah Hari Kebangsaan "