• Prasarana Teroka Peluang Di Arab Saudi

    Published: Monday, 28 August 2017
    A- A+

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang meninjau beberapa peluang perniagaan yang disifatkan cukup strategik dalam usaha memperkukuhkan operasinya di Arab Saudi.

    Ia termasuk pengendalian operasi keretapi laju (HSR) menghubungkan dua kota suci umat Islam, Makkah dan Madinah, yang dilihat berupaya mengembangkan operasi syarikat terbabit di negara berkenaan.

    Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam berkata, beliau mengambil pendirian optimis, malah yakin syarikat terbabit mampu meneroka lebih banyak peluang perniagaan di Arab Saudi.

    Katanya, keyakinan itu bersandarkan maklum balas positif kerajaan Arab Saudi terhadap prestasi cemerlang anak syarikatnya, Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME) mengendalikan operasi tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro-Southern Line (MMMSL).

    "Selain MMMSL, kita ada projek konsultasi bersama Metro Makkah, namun ia ditangguhkan sementara atas sebab-sebab tertentu. Malah, kita turut menerima tawaran bekerjasama dalam projek keretapi lain (di Arab Saudi).

    "Insyallah, kita mengambil pendirian positif dalam perkara ini dan cukup berkeyakinan terus diberikan peluang oleh Arab Saudi untuk mengembangkan operasi di negara ini bersandarkan kepada pengalaman dan kepakaran dimiliki," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Solat Hajat dan Tahlil Operasi Tren MMMSL Musim Haji 2017 di Al-Abdiya, Arafah, di Makkah, malam tadi.

    Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif New Straits Times Press (M) Bhd, Datuk Abdul Jalil Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif PRIME, Masnizam Hisham dan Pengarah Urusan MMMSL, Ahmad Jamaluddin Salleh.

    Ismail berkata, kejayaan pengoperasian tren haji berkenaan sejak 2015 berjaya 'membuka mata' Arab Saudi terhadap keupayaan 'Anak Malaysia' mengendalikan perkhidmatan keretapi berteknologi tinggi dalam keadaan berdepan pelbagai cabaran, termasuk faktor cuaca dan jumlah penumpang yang ramai.

    "Prasarana turut dilihat dari sisi berbeza sebagai satu jenama Malaysia di Arab Saudi. Ini memberi impak positif kepada imej negara di peringkat antarabangsa, lebih-lebih lagi pengoperasian MMMSL mendapat tumpuan dunia, khususnya dalam kalangan negara Islam.

    "Justeru, tanggungjawab berat kita untuk terus membina jenama ini. Di Arab Saudi, kita mendapat kerjasama penuh pelbagai agensi berkaitan, termasuk Kedutaan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)," katanya.

    Katanya, pengoperasian tren berkenaan turut membuktikan keupayaan 'Anak Malaysia' dalam mengendalikan perkhidmatan MMMSL yang disifatkan antara yang termaju di dunia.

    "Selain RapidBus, kita turut mengoperasikan LRT, monorel dan MRT di Malaysia. Ini sudah cukup menyakinkan. Status Malaysia sebagai negara Islam turut memberikan kita kelebihan melakukan penugasan di Tanah Suci," katanya.-Berita Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Prasarana Teroka Peluang Di Arab Saudi "