• Polis Tahan Lelaki Bantu Siasatan Kes Dera Bayi Di Lundu

    Published: Tuesday, 8 August 2017
    A- A+
    gambar fail

    LUNDU: Seorang lelaki berusia 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kes dera membabitkan seorang bayi perempuan berusia setahun 11 bulan di Kampung Opek dekat sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Lundu DSP Wong Chee Keong berkata, pihaknya menahan lelaki terbabit yang merupakan bapa kepada bayi tersebut.

    Menurutnya, semalam seorang bayi perempuan telah dihantar ke Wad Kecemasan Hospital Daerah Lundu oleh ibu bapanya dalam keadaan cedera di bahagian muka, tangan dan kaki.


    “Pemeriksaan lanjut telah dijalankan keatas bayi berkenaan sebelum dirujuk ke Unit Ortopedik Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi menerima rawatan lanjut mendapati bayi malang tersebut mengalami kecederaan lebam di muka, kaki dan hasil daripada keputusan ujian x-ray ke atas bayi tersebut mempunyai kesan patah lama dan baharu di lengan dan pergelangan tangan kanan mangsa,” katanya.

    Mengulas lanjut, Wong berkata suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Lundu untuk siasatan lanjut dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.- Sarawakiana
  • No Comment to " Polis Tahan Lelaki Bantu Siasatan Kes Dera Bayi Di Lundu "