• Polis buru Datuk ketua Geng 04

    Published: Friday, 11 August 2017
    A- A+


    GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang memburu 11 ahli Geng 04, termasuk ketuanya yang bergelar Datuk selepas dipercayai terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di negeri ini, sejak dua tahun lalu.

    Ketua Polis negeri, Datuk Wira Chuah Ghee Lye, berkata semua suspek terbabit berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu terbabit dalam sekurang-kurangnya 29 kes jenayah.

    "Hasil siasatan yang dilakukan mendapati semua suspek terbabit dalam kegiatan jenayah pergaduhan, pemerasan, ugutan jenayah, mendatangkan kecederaan dan kes bunuh.

    "Pihak polis masih menjejaki semua suspek terbabit yang melarikan diri dan mereka dipercayai masih berada di dalam negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

    Beliau berkata, setakat ini polis sudah menahan 24 ahli kumpulan terbabit yang berusia antara 20 hingga 60 tahun yang aktif melakukan kegiatan jenayah di sekitar Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    "Semua suspek ditahan reman selama 28 hari sehingga 15 Ogos ini, mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 130 V dan 130 W Kanun Keseksaan.

    "Sepanjang siasatan dan tangkapan yang dilakukan, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM133,844, 29 telefon bimbit, 21 botol minuman keras, enam kenderaan, tiga sabit serta barangan kemas," katanya.

    Difahamkan, tindakan turut akan diambil mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Polis buru Datuk ketua Geng 04 "