• Polis Bunuh 32 Orang Dalam Perang Dadah Dilancar Duterte

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    MANILA: Polis Filipina membunuh 32 orang dalam puluhan operasi antidadah pada hari dianggap paling berdarah sejak perang Presiden Rodrigo Duterte terhadap barang terlarang itu dimulakan, tahun lalu.

    Kira-kira 109 penjenayah kecil termasuk mereka yang menjual dadah di jalanan ditahan manakala puluhan pistol dirampas dalam operasi polis sepanjang lewat Isnin sehingga petang Selasa di wilayah Bulacan, kata ketua polis wilayah Romeo Caramat.

    “Kami melancarkan operasi ‘sekali sapu’ sebelum ini tetapi jumlah kematian dan kecederaan dalam serbuan terbaru ini yang tertinggi,” katanya pada satu sidang media.

    Dia bagaimanapun mempertahankan tindakan polis dan menegaskan semua kematian yang direkodkan berlaku ketika tembak-menembak dan bukan pembunuhan sewenang-wenangnya seperti sering diselar aktivis.

    “Mungkin ada segelintir pihak tidak mempercayai kami, tetapi kami terbuka untuk disiasat.

    “Namun saya perlu menegaskan kami sukar mengawal keadaan seperti itu dan seboleh-bolehnya akan mengelak pertumpahan darah,” katanya.

    Caramat berkata, polis melancarkan 49 serbuan dadah di Bulacan yang mengakibatkan 20 pertempuran bersenjata. Sepuluh kejadian tembak-menembak berlaku ketika polis cuba menyampaikan waran tangkap kepada suspek yang melawan penahanan mereka.

    Katanya, 93 orang turut ditahan atas pelbagai kesalahan selain dadah.

    Bulacan menjadi sasaran utama dalam perang dadah berkenaan, dengan 425 orang terbunuh dan 4,000 yang lain ditahan, kata Caramat.

    Ini seterusnya menjadikannya ‘kawasan panas’ kedua antidadah selepas Manila.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Bunuh 32 Orang Dalam Perang Dadah Dilancar Duterte "