• Polis Buka Siasatan Kes Mahathir Mahu Guling PM

    Published: Sunday, 6 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan kes Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merancang ‘guling’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim ketika mengesahkan perkara tersebut apabila ditanya pihak media berkata, proses siasatan akan dibuat di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 500 iaitu jenayah fitnah.

    Kertas siasatan dibuka setelah polis menerima laporan dari kedua-dua belah pihak bahkan semua individu termasuk Mahathir sendiri akan dipanggil untuk dirakamkan percakapan mereka berhubung dakwaan konspirasi tersebut.

    Ditemui wartawan selepas satu majlis di ibu negara, Noor Rashid memberitahu bahawa dalam proses siasatan itu, semua pihak berkaitan tidak akan terlepas waima Mahathir akan dipanggil polis untuk memberi keterangan.

    “Kami akan memanggil setiap orang yang terlibat. Jangan bimbang, kami akan meneliti semua laporan dengan terperinci dan akan menyerahkannya kepada pihak pendakwaraya untuk membuat keputusan,” katanya.

    Semalam di Kubang Pasu, Kedah, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menafikan dakwaan Mahathir konon beliau berjumpanya pada 2015 untuk meminta bantuan dalam rancangan bersama menjatuhkan Najib.

    Sebaliknya kata beliau yang jua Menteri Dalam Negeri, bekas Perdana Menteri itu yang memberitahu mengenai komplot jahat hendak ‘guling’ Perdana Menteri malah beliau ada rakaman perbualan ketika pertemuan tersebut.

    Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa adalah tidak logik setelah 10 hari dilantik sebagai timbalan Najib susulan rombakan Kabinet, tiba-tiba merancang konspirasi itu kerana beliau bukan jenis ‘gigit tangan’ tuannya sendiri.

    Mahathir mengeluarkan tohmahan itu ekoran pengesahan Ahmad Zahid pada Ahad minggu lalu mengenai asal-usul dirinya bagi mengalihkan perhatian umum terhadap krisis melanda pembangkang. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Buka Siasatan Kes Mahathir Mahu Guling PM "