• Pokok Getah Hempap Rumah

    Published: Tuesday, 8 August 2017
    A- A+

    Pokok getah sebesar satu pemeluk tumbang dan menghempap sebuah rumah di Kampung Sirako, Mukim Pulai, Baling selepas hujan lebat dan angin kencang, 8.15 malam tadi.

    Kejadian menyebabkan bahagian atap dapur dan bilik air rumah rosak namun penghuninya terselamat.

    Penghuni, Tiam Boon Rim, 57, berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di dapur.

    “Saya terkejut melihat pokok getah tumbang dan dahannya menimpa dapur dan bilik air," katanya ditemui hari ini.

    Katanya, sebelum itu hujan lebat selama dua jam disusuli angin kencang menyebabkan pokok getah yang condong ke rumahnya, tumbang.

    "Mujur saya dan isteri, Looi Chou Chin, 53, selesai makan malam dan beredar ke ruang tamu.

    "Ketika kejadian hanya saya dan isteri di rumah manakala anak keluar ke pekan,” katanya.

    Sementara itu, Penghulu Mukim Pulai, Badrul Hisham Che Li berkata, bantuan segera disalurkan kepada mangsa.

    Beliau berkata, Pejabat Daerah Baling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi sumbangan barangan makanan manakala Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Baling membantu membaiki atap rumah.

    "Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling pula menjalankan kerja memotong dan membersih pokok yang tumbang," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pokok Getah Hempap Rumah "