• Pindaan POCA Dibentang Di Dewan Rakyat

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang pindaan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA) dibentangkan di Dewan Rakyat malam tadi, untuk dibahaskan.

    Pindaan itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, antara lain bagi memasukkan pelantikan semula ahli lembaganya tanpa syarat untuk sebarang tempoh masa.

    Sebelum ini, ahli lembaga hanya boleh dilantik semula sekali untuk tempoh tiga tahun seterusnya.

    Pindaan ini juga mengenakan penalti bagi peranti pengawasan elektronik yang rosak atau hilang dan memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengenakan hukuman penjara kepada mereka yang lalai membayar penalti berkenaan.

    Nur Jazlan berkata, Seksyen 10A yang baharu juga akan melihat pembebasan tahanan reman.

    Katanya, ia memberikan kuasa kepada lembaga untuk membatalkan, menggantung atau melanjutkan perintah tahanan.

    Antara cadangan pindaan adalah bahawa tahanan tidak lagi akan dibawa kepada pegawai inkuiri selepas proses reman, sebaliknya polis perlu mengemukakan laporan penyiasatan kepada pegawai inkuiri dan Lembaga Pencegahan Jenayah, di mana pegawai inkuiri akan memulakan proses siasatan.

    Pada 2014, dilaporkan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Tambahan) 2013 yang diluluskan oleh Parlimen pada Oktober lalu membenarkan penjenayah ditahan tanpa perbicaraan sehingga dua tahun. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pindaan POCA Dibentang Di Dewan Rakyat "