• Petronas Teruskan Pelaburan Sosial Korporat Di Luar Bandar Sarawak

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+
    MIRI, 10 Ogos (Bernama) -- Petronas berikrar akan meneruskan program Pelaburan Sosial Korporatnya (CSI) bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar di Sarawak.

    Ketua Pembangunan dan Pengeluaran Aset Minyak Malaysia Sarawak (Hulu) Petronas Carigali Sdn Bhd Anuar Ismail berkata ketika ini antara projek CSI yang sedang dilaksanakan di Sarawak ialah Projek Eko Marin Petronas-Sarawak Forestry yang bernilai RM8 juta di Kompleks Tukun Sibuti.

    "Projek ini akan membawa pulangan sosioekonomi besar kepada penduduk Sarawak, terutamanya masyarakat tempatan di Miri. Ia akan meletakkan Miri dalam peta selam dunia dan bertindak sebagai pemangkin industri pelancongan yang penting bagi memacu ekonomi negeri," katanya pada majlis makan malam Jaringan Petronas-Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA), semalam.

    Di samping itu, beliau berkata projek itu turut akan menyumbang kepada populasi ikan yang lebih tinggi di perairan Miri, sekali gus akan memberi lebih peluang menangkap ikan dan menambah pendapatan kepada nelayan tempatan.

    "Saya harap anda (media) akan menulis lebih banyak mengenai projek CSI kami di Miri dan kawasan utara, terutamanya manfaat alam sekitar dan sosioekonomi," katanya sambil menambah selain memelihara alam sekitar Petronas juga terlibat dalam pembangunan pendidikan negeri dengan memberi biasiswa kepada mereka yang layak. -- BERNAMA
  • No Comment to " Petronas Teruskan Pelaburan Sosial Korporat Di Luar Bandar Sarawak "