• Pesanan Bapa Buat Thanabalan ‘Terbakar’

    Published: Monday, 28 August 2017
    A- A+

    Penjaring sensasi skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan, N.Thanabalan menjadikan pesanan bapanya sebagai cabaran mengharungi perlawanan akhir Sukan SEA (KL2017) bertemu Thailand pada Selasa.

    Pemain sayap kiri skuad Datuk Ong Kim Swee itu menjadi sebutan perlawanan pertama apabila menyumbangkan gol kemenangan, lebih-lebih lagi ketika saingan separuh akhir bertemu Indonesia Sabtu lalu.

    Menurut pemain tinggi lampai ini, apa yang berlaku dalam permainan memang tidak dijangkakan.

    “Fokus memang seratus peratus dalam permainan bersama rakan sepasukan. Di padang tidak ada apa yang saya fikirkan kecuali menggunakan setiap peluang yang ada.

    “Saya berterima aksih kepada rakan-rakan yang kerana mereka saya dapat menyumbang gol buat negara. Kalau bukan mereka yang bagi hantaran cantik dan tidak mencuba ke arah gol, memang saya tidak dapat melakukannya.

    “Jadi kami memang memerlukan antara satu sama lain,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

    Anak sulung kepada bekas pemandu kedutaan Finland itu mengakui, dia terkesan dengan kata-kata bapanya menjelang perlawanan akhir esok.

    “Saya masih tergiang-giang lagi apa yang bapa cakap selepas kami layak ke final. Bapa saya beritahu ‘apa yang korang buat sebelum ini memang sudah bagus. Tetapi kalau kalah dekat final nanti, ia tidak bermakna’.

    “Saya cuba fikir dan sedar kata-katanya itu betul kerana bukan mudah untuk mara ke final, dan kalau kami tidak berjuang habis-habisan ia sangat merugikan.

    “Lagipun inilah masanya kami untuk membalas dendam di atas kekalahan 3-0 ketika saingan Kelayakan Piala AFC di Bngkok Julai lalu.

    “Bagi saya, tidak kira apa jua yang berlaku kami perlu menang untuk hadiahkan pingat emas atau ada orang panggil ‘ibu emas’ kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya yang terharu.

    Pemain berusia 20 tahun dari kelab Felcra itu turut memberitahu kemungkinan besar teman wanita, ibu dan dua adiknya akan hadir pada perlawanan akhir esok.

    “Cuma bapa saya yang tidak dapat hadir. Mungkin agak sukar untuknya kerana bapa saya lumpuh. Jadi bapa akan menonton di televisyen sahaja.

    “Begitu juga rakan-rakan saya yang lain, kalau mereka dapat beli tiket hari ini, mesti mereka juga datang.

    “Dan saya juga berharap semua peminat bola sepak negara datang memberi sokongan kepada kami. Ia amat penting,” ujarnya.

    Selain itu, Thanabalan tidak mahu memikirkan mengenai padang perlawanan akhir nanti.

    “Kami semua berharap dapat bermain di Bukit Jalil, tetapi keputusan dibuat akan meneruskan saingan di Shah Alam.

    “Bagaimanapun kami tidak kisah kerana di mana sahaja beraksi, yang penting fokus kami tidak hilang,” jelasnya. – mStar Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pesanan Bapa Buat Thanabalan ‘Terbakar’ "