• Persepsi Mahkamah Dipengaruhi Kuasa Politik Tidak Betul - Salleh

    Published: Saturday, 19 August 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR : Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata tindakan pihak tertentu yang menimbulkan persepsi bahawa mahkamah dipengaruhi oleh kuasa politik, adalah tidak betul.

    Beliau berkata sistem kehakiman negara mempunyai prosedur undang-undang dan mahkamah perlu mengikut prosedur tersebut dalam perbicaraan.

    "Kita tidak boleh bermain politik dengan isu keadilan ini untuk menimbulkan persepsi rakyat agar membenci kerajaan. Keadilan ini adalah hak rakyat," katanya menerusi catatan terbaharu di laman blog beliau, sskeruak.blogspot.my hari ini.

    Salleh berkata Malaysia mengamalkan doktrin pengasingan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman dengan prinsip penting doktrin itu adalah tiada satu badan pun boleh melangkaui kuasa badan yang lain.

    "Namun, kini ada pihak yang mempertikaikan pelaksanaan prinsip ini, khususnya apabila keputusan mahkamah tidak memihak kepada pihak-pihak tertentu. Apabila ini berlaku, maka timbullah tuduhan mahkamah dipengaruhi oleh kuasa politik," katanya.

    Salleh berkata jika persepsi salah terus ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu, maka doktrin pengasingan kuasa yang dibina selama ini akan rosak.

    "Mahkamah seperti didesak untuk memberi keadilan hanya kepada yang menentang. Ini adalah satu prinsip keadilan yang silap," katanya.

    Menurutnya keadilan perlu dinilai dengan kebenaran kerana yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.

    "Keadilan boleh dilewatkan tetapi tidak boleh dinafikan. Belajarlah daripada pengalaman kes Forex dan Memali yang sedang hangat kita bincangkan sekarang ini. Keadilan itu boleh dilewatkan, tetapi tidak boleh dinafikan," katanya.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Persepsi Mahkamah Dipengaruhi Kuasa Politik Tidak Betul - Salleh "