• Permainan Video Berunsur Ganas Boleh Menyebabkan Alzheimer

    Published: Wednesday, 9 August 2017
    A- A+

    LONDON: Permainan video yang mengandungi unsur keganasan bukan hanya boleh menyebabkan otak mengalami kerosakan yang teruk tetapi juga meningkatkan risiko penyakit ‘Alzheimer’, demikian menurut kajian saintis.

    Daily Mail melaporkan, sekumpulan saintis dari Universiti Montreal, Kanada mendapati permainan tersebut menyebabkan neuron pemain tegar video berkenaan berkurangan di bahagian hippocampus otak.

    Hippocampus merupakan pusat ingatan utama dalam otak.

    Menurut Ketua Penyelidik Universiti Montreal, Dr Greg West, bagi pemain video tanpa unsur keganasan, mereka tidak mengalami masalah bahkan mendapat kesan yang positif daripadanya.

    “Kami telah melakukan kajian terhadap 100 pemain tegar yang kerap terlibat dalam permainan berunsur keganasan de­ngan aksi tembak menembak seperti Call of Duty, Killzone dan Borderlands untuk tempoh 90 jam.

    “Kami juga mengkaji pemain bagi pemainan tanpa unsur ke­ganasan seperti siri Super Mario bagi mendapatkan jurang perbezaan antara dua kategori pemain ini.

    “Pada akhir kajian, kami dapati neuron berkurangan pada pusat ingatan utama bagi kumpulan pemain tegar yang terlibat dengan permainan video berunsur keganasan berbanding yang sebaliknya,” jelas beliau.

    Penemuan ini sekali gus mencabar hasil penyelidikan terdahulu bahawa semua permainan video mampu untuk meningkatkan beberapa aspek pemprosesan mental dan meningkatkan memori jangka pendek.

    Tambah Dr West, permainan video memberi manfaat kepada sistem kognitif tertentu dalam otak terutamanya berkaitan dengan perhatian visual dan memori jangka pendek.

    Katanya, hippocampus yang lemah menyebabkan semakin ramai bakal berdepan risiko penyakit otak yang mungkin bermula dengan kemurungan sehinggalah gangguan dan tekanan pasca trauma (PTSD) selain penyakit Alzheimer.

    Kajian juga menunjukkan permainan berunsur keganasan akan merangsang kawasan otak untuk membentuk tabiat disebut caudate nucleas yang mengurangkan atau menghilangkan atau mengecutkan lebih banyak sel-sel hippocampus.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Permainan Video Berunsur Ganas Boleh Menyebabkan Alzheimer "