• PERHILITAN Diiktiraf Pemilik Terbesar Genetik Hidupan Liar Negara

    Published: Monday, 28 August 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pemilik koleksi terbanyak genetik hidupan liar.

    Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata melalui Perbankan Sumber Genetik Hidupan Liar (WGRB) di bawah Jabatan PERHILITAN, pihaknya akan mengenal pasti pelbagai jenis hidupan liar bagi membantu pengurusan sampel berkenaan.

    "Sehingga kini, sebanyak 17,002 koleksi bahan biologi daripada 386 spesis hidupan liar didaftarkan dalam pangkalan data WGRB dan daripada jumlah itu, 9,144 diklasifikasi sebagai sumber rujukan utama.

    "WGRB akan mengenal pasti asal usul setiap binatang liar, sekali gus menjadi sumber rujukan bagi membantu penganalisaan kes membabitkan jenayah hidupan liar di mahkamah," katanya selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan 1NRE bagi Bulan Ogos di Paya Indah Wetland, di sini hari ini.

    Hadir sama, Timbalannya, Datuk Dr Hamim Samuri; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Alam Sekitar) kementerian, Datuk Dr Azimuddin Bahari; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Sumber Asli) kementerian, Datuk Suhaimi Mamat dan Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

    Wan Junaidi berkata, koleksi itu turut boleh digunakan untuk penyelidikan genetik hidupan liar bersama universiti dan agensi penyelidikan lain.

    "Selain itu, usaha memperkasakan pelbagai hidupan liar ini dilihat boleh diperluaskan lagi tanpa kita perlu merujuk kepada negara luar untuk mengetahui spesies tertentu," katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " PERHILITAN Diiktiraf Pemilik Terbesar Genetik Hidupan Liar Negara "