• Peranti Hanya Rujukan Tambahan Di Sekolah

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+


    BUKIT KAYU HITAM: Kebenaran membawa alat peranti ke sekolah awal tahun depan hanya sebagai tambahan untuk membuat rujukan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara interaktif, bukannya belajar menggunakan alat itu sepanjang masa.

    Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata proses P&P di dalam kelas tetap berlangsung seperti biasa dan penggunaan peranti itu juga mungkin dibenarkan pada waktu tertentu.

    “Bukan digunakan dari 7.45 pagi hingga 2 (petang). Mungkin 2 jam tetapi kita tidak putuskan lagi (sama ada) 2 atau 3 jam waktu yang dibolehkan menggunakan alat peranti,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jambori Pengakap Negeri Kedah kali ke-5 dan Persaudaraan Antarabangsa 2017 yang dihadiri lebih 4,000 peserta termasuk dari Thailand dan Indonesia malam tadi.

    Beliau berkata pendekatan murid serta pelajar sekolah membawa alat peranti itu sudah lama dilaksanakan di sekolah berasrama penuh dan berprestasi tinggi serta di sekolah antarabangsa mahupun swasta.

    Selasa lepas, ketika mengumumkan kebenaran itu sejajar dengan gelombang teknologi dunia, Mahdzir berkata pihaknya sedang merangka peraturan serta pekeliling bagi menetapkan penggunaan serta alat peranti yang dibenarkan dibawa ke sekolah.

    Katanya pada masa ini hanya tablet dibenarkan dan pelajar dilarang membawa telefon bimbit kerana dilihat mampu mengganggu dan menjejaskan tumpuan pelajar di dalam kelas.

    Subjects:

  • No Comment to " Peranti Hanya Rujukan Tambahan Di Sekolah "