• Penunggang Maut Motosikal Bertembung Hilux Di Bintulu

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+

    BINTULU: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya secara melawan arus bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu di sini awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu,mangsa, Peter Kiai, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

    Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zailani Amit berkata, pemandu Toyota Hilux iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Menurutnya, berdasarkan rakaman keterangan daripada pemandu Toyota Hilux itu, mangsa dikatakan menunggang motosikalnya secara melawan arus.

    "Pemandu Toyota Hilux tersebut dikatakan tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal mangsa di laluan sama.

    "Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

    Zailani menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE

  • No Comment to " Penunggang Maut Motosikal Bertembung Hilux Di Bintulu "