• Penguat Kuasa KWSP Bantu Majikan Carum Pekerja

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sentiasa melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan majikan di negara ini melaksanakan tanggungjawab dalam membuat caruman untuk pekerja mereka.

    Ketua Jabatan Penguatkuasaan KWSP Hardial Singh berkata satu daripada inisiatif yang telah dilaksanakan dengan jayanya adalah dengan mempunyai pasukan penguatkuasaan yang proaktif dan sistem pemantauan yang efektif.

    “Mereka ini merupakan satu pasukan yang komited dan profesional.

    “Selain advokasi, pegawai dalam pasukan ini yang juga dikenali sebagai inspektor, sedia memberi khidmat nasihat dan ‘reach out’ kepada majikan yang mungkin mempunyai masalah dalam memahami dan melaksanakan tanggungjawab mereka itu,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama di ibu pejabat KWSP di sini.

    Beliau menjelaskan, sekiranya pasukan penguatkuasaan mendapati ada majikan yang gagal membuat caruman untuk sesuatu bulan, pegawainya akan menghubungi majikan atau memberi notis peringatan disusuli dengan lawatan pemeriksaan ke premis.

    Tindakan terakhir adalah tindakan undang-undang yang akan diambil ke atas majikan dan tindakan perundangan yang lebih tegas boleh diambil sekiranya peringatan terdahulu tidak dihiraukan, katanya.
    Katanya, adalah menjadi tanggungjawab undang-undang untuk majikan mencarum dan menjelaskan tunggakan caruman setiap pekerjanya seperti yang tertakluk di bawah Akta KWSP 1991.

    “Caruman kepada pekerja juga merupakan satu bentuk penghargaan majikan kepada pekerja mereka, dan pada masa sama ia diharap dapat memotivasikan pekerja kerana mereka akan menpunyai simpanan di hari tua,” katanya.

    Beliau berkata majikan boleh dihukum penjara dan/atau denda manakala pemilik dan pengarah syarikat juga boleh diambil tindakan sivil serta dilarang keluar negara jika gagal melangsaikan tunggakan caruman pekerja di bawah peruntukan Akta KWSP 1991.

    Katanya setakat ini lebih 10,000 pengarah syarikat telah diambil tindakan perundangan, manakala 7,810 majikan atau 1.05 peratus daripada hampir 568,000 majikan berdaftar di seluruh negara didapati masih gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

    “Hasil usaha dan komitmen pasukan penguatkuasaan KWSP, caruman tertunggak berjumlah RM2.99 bilion telah dikutip pada tahun 2016 yang mana RM29 juta daripadanya adalah kutipan melalui larangan keluar negara di bawah Seksyen 39(1)(a),” katanya.

    Hardial berkata peka dengan keperluan majikan, KWSP juga melaksanakan inisiatif untuk memudahkan majikan memenuhi tanggungjawab mencarum untuk pekerja.

    Ini termasuk memperkenalkan e-Caruman dan e-Caruman App yang membolehkan majikan menghantar Borang A dan membuat caruman serta menyemak maklumat secara dalam talian melalui laman web KWSP www.kwsp.gov.my ataupun melalui telefon mudah alih pintar mereka. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Penguat Kuasa KWSP Bantu Majikan Carum Pekerja "