• Pengerusi Sementara SPAD Akan Dilantik

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Seorang pengerusi sementara akan dilantik dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mengetuai agensi itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

    Tindakan itu akan diambil susulan penahanan Pemangku Pengerusinya, Tan Sri Isa Samad, oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak kelmarin.

    Nancy berkata, berikutan penahanan Isa seorang pengerusi sementara akan dipilih dalam kalangan anggota Lembaga Pengarah SPAD.

    “Tidak adil untuk membuat spekulasi kerana dia baru ditahan, namun pengurusan (SPAD) akan terus berjalan seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada majlis Aspirasi Generasi Inovasi di sini, malam tadi.

    Ditanya mengenai tempoh pengerusi sementara memegang jawatan itu, Nancy berkata, pihaknya tidak dapat memastikannya kerana kes itu baru bermula.

    Isa yang juga bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) ditahan ketika dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, kelmarin.

    Pelantikan Isa sebagai Pemangku Pengerusi SPAD diumumkan Pejabat Perdana Menteri, pada 19 Jun lalu. – NST

    Subjects:

  • No Comment to " Pengerusi Sementara SPAD Akan Dilantik "