• Penerbangan Sulung AirAsia Shenzhen Ke Langkawi

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+


    LANGKAWI – AirAsia Bhd mengadakan sambutan bagi penerbangan sulung dari Shenzhen ke Langkawi dengan 89 peratus faktor muatan dan menjangka laluan tersebut dapat meningkatkan kemasukan pelancong ke pulau berkenaan.

    Ketua Pegawai Eksekutif, Aireen Omar dalam satu kenyataan berkata, syarikat penerbangan itu telah menerbangkan lebih satu juta penumpang ke Langkawi setakat ini tahun ini, dan mengunjurkan jumlah itu akan meningkat.

    AirAsia juga sedang bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk menjadikan Langkawi sebagai hab antarabangsa dan mempromosi pulau yang indah itu sebagai destinasi percutian utama pelancong China.

    Penerbangan AK 1713 raikan dengan tembakan meriam ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan disambut Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Azizan Noordin.

    Penerbangan terus tiga kali seminggu itu merupakan laluan antarabangsa ketiga AirAsia dari Langkawi , di samping Singapura dan Guangzhou, dan yang ketujuh dari Langkawi selain Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Singapura dan Guangzhou.

    Bagi meraikan acara penting itu, AirAsia menawarkan promosi tambang sehala termasuk semua sebanyak RM200 dari Langkawi ke Shenzhen bagi tempoh perjalanan antara sekarang sehingga 8 Februari 2018.

    Terletak di seberang sempadan Hong Kong, Shenzhen adalah satu keajaiban moden dengan ekonomi yang cergas serta landskap yang luas. Sebagai satu daripada bandar terkaya dan berpenduduk paling ramai di China, ia dipenuhi dengan beberapa taman tema serta banyak tarikan lain.

    AirAsia kini mengadakan penerbangan ke tujuh destinasi dari Langkawi dengan empat laluan domestik dan tiga laluan antarabangsa dengan 119 penerbangan sehala mingguan. AirAsia juga menghubungkan Langkawi ke 15 negara seperti Vietnam, Korea Selatan dan Taiwan melalui produk Fly-Thru syarikat tersebut. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Penerbangan Sulung AirAsia Shenzhen Ke Langkawi "