• Penduduk Kesal Jalan Spaoh Rosak Akibat Projek Pan Borneo

    Published: Wednesday, 9 August 2017
    A- A+


    SPAOH: Jalan utama dari simpang masuk ke Pekan Spaoh sehingga simpang menuju ke Kampung Bungin di Spaoh kini mengalami banyak kerosakan yang teruk.

    Menurut seorang penduduk kampung Spaoh, Suherman Abdul Majid, 43,  kerosakan yang berlaku adalah berpunca daripada pembinaan lebuhraya Pan Borneo.

    "Anggaran kerosakan jalan adalah dalam lingkungan sembilan kilometer.

    "Lapan kilometer adalah dari Simpang Spaoh ke Simpang Bungin dan satu kilometer dari Simpang Bungin hingga ke pusat pengumpulan batu," katanya.

    Jemali Jamil yang berusia awal 50-an yang berasal dari Kampung Bungin pula memberitahu bahawa pihak kontraktor ada melakukan proses membaikpulih sementara, namun ia tidak mencukupi.

    "Pihak kontraktor ada melakukan proses pembaikan jalan namun ia tidak mencukupi kerana mereka hanya menabur batu-batu halus sedangkan lori yang digunakan mengangkut batu melakukan puluhan perjalanan setiap hari," ujarnya.

    Beliau berharap agar pihak Majlis Daerah dan kontraktor terbabit supaya lebih perihatin dan dapat mengambil tindakan yang lebih proaktif supaya masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

    "Keadaan jalan menjadi semakin teruk kerana turut menjadi laluan kenderaan berat, malah ianya boleh membahayakan nyawa pengguna kenderaan kecil," jelasnya lagi. 

    Projek pembinaan lebuhraya Pan Borneo memaksa pihak kontraktor mengangkut bahan binaan daripada Kampung Bungin kerana di situlah lokasi pusat pengumpulan batu paling strategik dihantar menggunakan tongkang.- Sarawakiana
  • No Comment to " Penduduk Kesal Jalan Spaoh Rosak Akibat Projek Pan Borneo "