• Pendaratan Penyu Meningkat Lebih 100%

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+


    DUNGUN – Jabatan Perikanan Terengganu merekodkan 8,381 pendaratan penyu agar di empat lokasi di seluruh negeri sepanjang tahun lalu, iaitu jumlah pendaratan tertinggi dalam tempoh lima tahun.

    Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Datuk Ismail Abu Hasan berkata jumlah itu meningkat lebih 100 peratus berbanding 4,156 pendaratan penyu itu di lokasi sama sepanjang 2015.

    “Peningkatan ini mencerminkan kejayaan program pemuliharaan dan pemeliharaan penyu yang kita semua lakukan selama ini.

    “Kami juga berbangga dan berterima kasih dengan penglibatan syarikat korporat dan swasta yang banyak berkolaborasi dalam program seumpama ini, malah mereka turut menyumbang hampir 50 peratus dalam setiap program yang dijalankan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama media di sini malam tadi.

    Turut hadir Pengarah Perikanan Negeri Terengganu Zawawi Ali.

    Turut direkodkan ialah peningkatan telur penyu agar iaitu 803,104 biji sepanjang 2016 berbanding 420,589 biji pada 2015.

    Penetasan telur penyu karah juga mencatatkan peningkatan iaitu 2,528 biji pada 2016 berbanding 1,446 biji pada 2015.

    Ismail turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan berterusan pihak media dalam meningkatkan tahap kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga khazanah alam itu agar tidak mengalami kepupusan.

    “Peningkatan jumlah pendaratan penyu dan penetasan telur penyu ini diharap melonjakkan lagi semangat dan motivasi semua pihak yang terlibat dalam program konservasi penyu selama ini, malah kita mahu lebih ramai terlibat pada masa akan datang.

    “Program dan hebahan penerangan mengenai penyu ini perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar ia terus menjadi keutamaan masyarakat terutama penduduk Terengganu kerana ia adalah ikon kebanggaan negeri ini yang perlu dipertahankan,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pendaratan Penyu Meningkat Lebih 100% "