• Pencapaian Sukan SEA Tidak Dijangka – Marina Chin

    Published: Wednesday, 30 August 2017
    A- A+

    SYUKUR… Chef de mission (CDM) negara bagi Sukan SEA 2017, Datuk Marina Chin menyifatkan kejayaan luar biasa raih sasaran lebih 111 pingat emas berpunca prestasi semua jenis sukan.

    Beliau turut memuji sebahagian besar jenis sukan mampu menyumbangkan lebih emas daripada disasarkan sambil menjelaskan pencapaian lebih 140 emas adalah sesuatu tidak pernah difikirkannya ketika dilantik menjadi CDM.

    Marina juga menambah bahawa kejayaan kontinjen negara pada temasya serantau kali ini adalah hasil perancangan rapi semua pihak, termasuk program Kita Juara yang dilancarkan Kementerian Belia dan Sulan pada 2015 lalu.

    “Bukan sahaja sasaran 111 tetapi jangkaan saya 120 emas juga telah diatasi. Ini hasil kerjasama yang sangat erat di antara jurulatih, atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan rakyat Malaysia,” kata Marina.

    Sukan SEA ke-29 merupakan kali keenam dianjurkan Malaysia selepas 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001. Pencapaian terbaik negara ialah pada 2001 lalu dengan meraih 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa.

    Sementara itu, beberapa atlet kebangsaan turut melahirkan rasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada keluarga yang terlibat dalam menyumbangkan jumlah emas terbesar negara dalam Sukan SEA kali ini.

    “Ini jadi memori tidak akan dilupakan kerana bertanding di tempat sendiri. Pencapaian ini adalah hadiah untuk rakyat malaysia sempena hari kemerdekaan,” ujar atlet memanah compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh.

    “Pada mulanya agak ragu-ragu untuk mencapai sasaran 111 emas tetapi Alhamdulilah sukan lain juga berjaya mengatasi sasaran yang dijangkakan,” tambah pemain ragbi tujuh sepasukan negara, Muhd Firdaus Tarmizi.

    Malaysia pada hari terakhir temasya dwitahunan itu mengutip 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa sekali gus muncul juara keseluruhan jauh di hadapan Thailand berada di tempat kedua. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Pencapaian Sukan SEA Tidak Dijangka – Marina Chin "