• Penasihat sains PM terima gelaran Wira Kepelbagaian Bio ASEAN

    Published: Monday, 14 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid adalah antara 10 tokoh pemuliharaan biodiversiti yang menerima Anugerah Wira Kepelbagaian Bio ASEAN 2017 di Manila Isnin lalu.

    Beliau yang juga Pengerusi Bersama MIGHT (Kumpulan Industri Kerajaan untuk Teknologi Tinggi) telah memberikan pelbagai sumbangan dalam pembangunan kepelbagaian bio dan ekosistem di negara ini termasuk pemulihan dan kelestarian alam sekitar.

    "Anugerah sulung itu mewakili akar umbi, kerajaan, akademik dan sektor perniagaan diberikan sempena sambutan Ulang Tahun Emas ASEAN," menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat ASEAN untuk Biodiversiti (ACB) yang berpangkalan di Manila.

    Anugerah yang menghargai individu berinspirasi dan berani menyahut cabaran untuk menangani kehilangan biodiversiti diberikan kepada individu seperti pemimpin masyarakat yang melindungi hutan Papua hingga ahli sains yang menjuarai pengurusan sumber pantai.

    Zakri diiktiraf kerana membuat analisis dan penilaian biodiversiti global dan perkhidmatan ekosistem, kata ACB.

    Pengarah Eksekutif ACB, Roberto V Oliva pula berkata, anugerah itu sebagai menghargai mereka yang menumpukan kehidupan mereka kepada pemuliharaan biodiversiti.

    Selain Prof Zakri, penerima lain ialah Eyad Samhan dari Brunei; Sophea Chhin, (Kemboja); Alex Waisimon (Indonesia); Nitsavanh Louangkhot Pravongviengkham (Laos); Dr Maung Maung Kyi (Myanmar); Dr Angel C Alcala (Filipina); Prof Leo Tan Wee Hin (Singapura); Dr Nonn Panitvong (Thailand) dan Prof Dang Huy Huynh (Vietnam).

    Setiap mereka menerima wang tunai AS$5,000 (RM21,000), medal dan trofi. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Penasihat sains PM terima gelaran Wira Kepelbagaian Bio ASEAN "