• Pembangkang Jangan Jadi Alat Pihak Luar Jatuhkan Negara

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Pembangkang jangan mainkan peranan sebagai alat kepada pihak luar untuk campur tangan dalam soal pentadbiran negara.

    Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangkang tidak perlu memainkan peranan tambahan itu kerana ia akan merosakkan malah memberikan impak negatif kepada negara di mata dunia.

    “Kita lihat hubungan pembangkang dengan Claire Brown (Editor Sarawak Report) yang memfitnah kerajaan kita. Mereka jadi lidah kepada Claire Brown di negara kita. Malah mereka jadi jurucakap kepada dia untuk memfitnah pemimpin kita,” katanya kepada wartawan hari ini.

    Ismail ditemui media selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan 2017 peringkat FELCRA Berhad bersama lebih 200 pekerja FELCRA hari ini.

    Pembangkang kata Ismail Sabri, kini menjadi penyebar maklumat yang tidak betul dan fitnah kepada pihak luar yang secara terang-terangan mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

    Claire Rewcastle-Brown sebelum ini banyak menimbulkan fitnah antaranya dakwaan RM9.5 juta daripada SRC International telah disalurkan ke akaun peribadi Tan Sri Muhammad Shafee melalui transaksi dua pembayaran iaitu pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.

    “Mereka datang daripada luar yang membesarkan isu 1MDB. Tun Mahathir dulu kata jangan percaya akhbar luar. Sekarang dia pula yang bersama mereka.

    “Kalau ada campur tangan luar, negara itu akan hancur sama seperti Iraq, Syria dan Mesir.

    “Akhirnya rakyat yang menderita. Apa pun isu politik dalaman biar kita yang tentukan masa depan kita. Jangan ada campur tangan luar,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangkang Jangan Jadi Alat Pihak Luar Jatuhkan Negara "