• Pemansuhan Geran Komunal Halang Pembangunan Rakyat Luar Bandar Sabah

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU - Pemansuhan geran komunal di Sabah akan menghalang pembangunan rakyat di luar bandar, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

    Katanya, pengenalan program itu pada 2010 telah membawa banyak faedah ekonomi kepada benefisiari tanah yang kebanyakannya penduduk miskin.

    “Pada dasarnya, pengeluaran geran komunal bertujuan untuk menjaga kepentingan anak negeri di Sabah dan memastikan hak milik tanah anak negeri (Native Title) tidak sewenang-wenangnya dijual atau dipajakkan.

    “Pembangunan geran komunal boleh dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu secara sendiri oleh benefisiari atau secara usaha sama dengan agensi kerajaan atau swasta,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Wilfred Bumburing (PCS-Tamparuli) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

    Musa kesal terdapat pembangkang yang mahu memansuhkan geran komunal jika menang pilihan raya umum kelak.

    “Dia (pembangkang) mahu orang kampung miskin selamanya agaknya,” tambahnya.

    Menurut Musa, sejak geran komunal itu diperkenalkan pada 2010, kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur Sabah telah mengeluarkan 72 geran komunal dengan jumlah keluasan 48,191 hektar merangkumi 213 kampung dan melibatkan 10,462 orang benefisiari.

    Daripada jumlah itu, beliau berkata seluas 34,001 hektar telah dibangunkan dengan ladang sawit yang telah mula mengeluarkan hasil, manakala 2,554 hektar yang dibangunkan dengan ladang getah dijangka boleh ditoreh dalam tempoh lima tahun lagi.

    “Pembangunan ladang kelapa sawit secara usahasama telah dilaksanakan sejak 2012 dengan kawasan seluas 2,314 hektar dibangunkan dengan kos RM26 juta.

    “Untuk hasil sehektar adalah sebanyak 1.26 tan metrik dan jumlah dividen yang telah dibayar kepada benefisiari adalah kira-kira RM5.6 juta,” katanya.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pemansuhan Geran Komunal Halang Pembangunan Rakyat Luar Bandar Sabah "