• Peluang Rakyat Sarawak Dalam Pertanian Terbuka Luas

    Published: Monday, 21 August 2017
    A- A+

    Isu tanah memang perkara yang sensitif di Sarawak memandangkan Hak Tanah Adat (NCR) masih menjadi perbalahan walaupun kerajaan sudah menerangkan dan ada yang telah disukat dan mendapat gran hak milik. Namun masih ramai yang membantah usaha kerajaan dan tidak membenarkan tanah di sukat.

    Pada asasnya peruntukkan besar daripada kerajaan pusat agar tanah tersebut di sukat tanpa memerlukan pemilik berkenaan mengeluarkan perbelanjaan. Kerajaan mahukan rakyat Sarawak mengkomersialkan tanah tersebut kepada pertanian yang mengangkat ekonomi pemilik tanah dan bukan untuk menjual tanah sewenang-wenangnya.

    Sebagai contoh, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Ugah telah melawat pasar borong di China yang begitu memerlukan import bahan makanan dari negara luar. Pemilik tanah NCR sepatutnya merebut peluang supaya dapat mengeksport hasil pertanian dalam kuantiti yang besar ke negara luar.

    Lawatan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg ke Kuala Rajang, Mukah baru-baru ini juga menyaksikan pertanian mampu menjana pendapatan tinggi kepada pengusaha.

    Kuala Rajang telah melaksanakan penanaman 'Rock mellon' dengan kaedah fertigasi yang mampu mengeluar buah yang lebih manis berbanding hasil penanaman masyarakat Jepun. Di Jepun harga sebiji buah tersebut mencecah RM200.

    Inilah peluang yang sepatutnya direbut oleh pemilik tanah NCR dan perlu berhubung erat dengan kerajaan agar maklumat yang penting untuk mengubah kehidupan tidak akan ketinggalan.

    Di Semenanjung kaedah penanaman fertigasi sudah jauh lebih maju meninggalkan kita, walaupun keluasan tanah mereka jauh lebih kecil berbanding Sarawak.

    Di Sarawak buminya luas dengan potensi yang besar, betapa banyak tanah-tanah yang ditinggalkan terbiar menunggu pihak lain untuk mengusahakan. Ironinya, sudah berdekad-dekad mengeluh dan bertelagah kononnya tanah dirampas.

    Sementara pihak lain sudah jauh meninggalkan kita dalam bidang pertanian, tanah sepatutnya dijadikan asset penting untuk diusahakan dalam meningkatkan taraf hidup, dan peluang untuk rakyat Sarawak sentiasa terbuka. – Abdul Halim Jantan

    Subjects:

  • No Comment to " Peluang Rakyat Sarawak Dalam Pertanian Terbuka Luas "