• Pelbagai Acara Menarik Sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri

    Published: Tuesday, 8 August 2017
    A- A+

    KUCHING: 'Celebration Square' yang terletak berhampiran Pusat Akuatik Pandalela Rinong, Petra Jaya akan menjadi venue sambutan Hari Jadi Ke-81 Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tahun ini.

    Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelbagai acara diatur sepanjang tiga hari sambutan tersebut yang bermula 8 hingga 10 September akan datang.

    “Sebanyak lima acara puncak dirancang sepanjang tiga hari dengan dimulakan kenduri kesyukuran di Masjid Jamek pada 8 September diikuti perbarisan.

    ”Istiadat perbarisan dan rapat raksasa diadakan di perkarangan Celebration Square dengan perarakan disertai 81 kontinjen dan seterusnya Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 9 September,” katanya.

    Mengulas lanjut, Majlis Jamuan Negeri di Dewan Santapan, DUN Sarawak, Kuching pada 9 September serta Majlis Jamuan Teh di Hotel Waterfront Kuching diadakan pada hari sama diteruskan dengan konsert dirgahayu dengan menampilkan persembahan daripada artis popular di Celebration Square diikuti dengan persembahan bunga api.

    Sehubungan itu, Awang Tengah menyeru kepada semua lapisan masyarakat khususnya di bandar raya ini hadir menyaksikan pelbagai acara yang dirancang sempena sambutan tersebut.

    Sementara itu, Pameran Dirgahayu akan diadakan serentak dengan Pameran Raja Kita sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-XV di Atrium, Plaza Merdeka Mall Kuching yang akan diadakan pada 10 September ini.-Sarawakiana
  • No Comment to " Pelbagai Acara Menarik Sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri "