• Pelajar Sekarang Lebih Nakal

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+

    KUALA NERANG: Kementerian Pendidikan mengenal pasti empat elemen yang menjadi penyebab berlakunya peningkatan kejadian buli dalam kalangan pelajar sekolah.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzhir Khalid, berkata faktor pemakanan, persekitaran, teknologi dan masyarat, menyebabkan pelajar pada masa kini menjadi lebih nakal daripada kebiasaan.

    "Pemakanan yang tidak dijaga, persekitaran yang tidak sihat, penggunaan teknologi yang tidak dikawal dan dikelilingi masyarakat yang negatif menyebabkan pelajar terdorong melakukan perkara yang tidak baik.

    "Keempat-empat perkara ini saling berkaitan, yang mana ia membentuk pelajar masa kini bertindak di luar kawalan.

    "Mereka kini bukan sahaja pukul pelajar, malah guru pun mereka pukul," katanya selepas menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap, di sini.

    Mengulas kejadian membabitkan seorang guru yang cedera akibat dipukul pelajar di Melaka, Mahdzir berkata, beliau masih belum menerima laporan mengenai kejadian itu.

    "Dalam kes pukul guru ini, jelas pelajar itu melanggar etika kerana asasnya pelajar tidak boleh pukul guru dan itu satu tindakan salah...tak boleh pelajar sampai ke tahap itu.

    "Ibarat dalam padang bola, jika pengadil beri kad merah, pemain berkenaan menolak pengadil kerana tak puas hati, maka kenalah a gantung lima perlawanan seperti yang berlaku kepada Cristiano Ronaldo.

    "Begitu juga di sekolah. Jika pelajar bersalah, cikgu mengambil tindakan, jangan lawan cikgu berkenaan," katanya.

    Minggu lalu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan seorang guru retak jari tangan selepas dipukul dengan kerusi oleh seorang pelajar berusia 14 tahun.

    Kejadian dikatakan berlaku selepas guru berkenaan mengambil tindakan terhadap pelajar terbabit yang menggunakan kata-kata kesat terhadapnya.

    Subjects:

  • No Comment to " Pelajar Sekarang Lebih Nakal "