• PBB 'Hukum' Korea Utara

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+

    NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara menyokong resolusi digubal Amerika Syarikat (AS) untuk me­ngenakan sekatan lebih tegas terhadap Korea Utara melalui lara­ngan eksport yang dijangka bakal menjejaskan pendapatan tahunan negara itu sehingga hampir AS$3 bilion (RM12.83 bilion).

    Duta AS ke PBB, Nikki Haley memberitahu, sekatan paling tegas yang pernah dikenakan ke atas mana-mana negara itu merupakan hukuman berat yang perlu ditanggung Korea Utara ekoran kedegilannya melaksanakan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baru-baru ini.

    “Kita tidak seharusnya memperbodohkan diri dengan memikirkan kita sudah menyelesaikan masalah. Sedikit pun tidak. Ancaman Korea Utara masih berleluasa malah semakin berbahaya.

    “Kami akan meneruskan tindakan mempertahankan diri yang bijak untuk melindungi diri dan sekutu kami. Washington juga akan meneruskan latihan ketenteraan tahunan bersama Korea Selatan,” katanya.

    Resolusi tersebut menyekat beberapa eksport Korea Utara antaranya arang batu, besi, bijih besi, timah, bijih timah dan makanan laut.

    Sekatan itu juga menghalang beberapa negara daripada menambah jumlah semasa pekerja Korea Utara yang bekerja di luar negara, usaha sama dan pelaburan baharu dengan usaha sama sedia ada.

    Sembilan pegawai Korea Utara dan empat firma termasuk bank pertukaran asing utama negara tersebut turut termasuk dalam senarai hitam sekatan baharu PBB itu.

    Sementara itu Presiden AS, Donald Trump menerusi laman Twitter menegaskan, sekatan tersebut bakal memberi kesan besar ke atas ekonomi dan kewa­ngan Korea Utara selain memuji kesediaan China dan Rusia untuk menghukum Pyongyang.

    “Trump menghargai kerjasama China dan Rusia dalam meluluskan resolusi itu. Beliau akan terus bekerjasama dengan semua negara anggota PBB bagi mening­katkan tekanan diplomatik dan ekonomi ke atas Korea Utara demi menamatkan tingkah laku yang mengancam kestabilan dunia itu,” jelas White House dalam satu kenyataan.

    Sementara itu, Duta Tetap China ke PBB, Liu Jieyi berkata, resolusi itu tidak berniat untuk memberi kesan negatif kepada rakyat Korea Utara sebaliknya bertujuan menyeru negara itu untuk kembali ke meja rundingan bagi menamatkan penggunaan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

    “PBB mengguna pakai resolusi ini sebulat suara sekali gus me­nunjukkan bahawa masyarakat antarabangsa bersatu dalam kedudukannya mengenai isu nuklear di Semenanjung Korea,” katanya.

    Isu mengenai Korea Utara dijangka menguasai Forum Serantau ASEAN (ARF) bermula esok di Manila yang mengumpulkan 27 Menteri Luar termasuk Rusia, Jepun, AS, China, Korea Utara dan Korea Selatan bagi membincangkan isu-isu keselamatan.

    Menteri Luar China, Wang Yi berkata, beliau telah menggesa rakan sejawatannya dari Korea Utara, Ri Yong-ho untuk mematuhi resolusi PBB ketika kedua-dua mereka bertemu dalam satu perbincangan tertutup di Manila selain memberi amaran kepada Korea Selatan dan AS supaya tidak mengambil tindakan provokasi berkenaan isu tersebut.

    Beliau berharap semua pihak yang terlibat mempertimbangkan secara serius cadangan penggantungan China yang meminta Korea Utara menghentikan ujian nuklear serta peluru berpandu dan mengarahkan agar latihan tentera secara bersama antara Korea Selatan dan AS dihentikan.

    “Ini adalah inisiatif yang paling realistik dan munasabah serta merupakan penyelesaian yang paling mesra,” tegasnya.

    - Utusan Malaysia

    Subjects:

  • No Comment to " PBB 'Hukum' Korea Utara "